
KUCHING, 28 Oktober – Polis menahan sembilan individu berusia antara 16 hingga 73 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah kubur di Miri, Sarawak.
- Tangkapan dibuat antara 11 hingga 17 Oktober hasil risikan dan siasatan polis.
- Aktiviti pecah kubur dipercayai bermula sejak Ogos; 15 kubur dilaporkan dipecah sepanjang tempoh itu.
- Polis anggap kes sensitif kerana membabitkan isu agama dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun jika sabit kesalahan.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak berkata, tangkapan dilakukan dari 11 hingga 17 Oktober lalu hasil risikan dan siasatan pihaknya.
Menurutnya, kegiatan itu dipercayai bermula sejak Ogos lalu dengan sebanyak 15 kubur dilaporkan dipecah sepanjang tempoh berkenaan.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.
“Kes pecah kubur ini kita anggap sensitif kerana membabitkan isu agama dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun jika sabit kesalahan.