Festival Pertukaran Budaya, perkukuh hubungan silang budaya

Festival bakal menghimpunkan penyertaan enam negara bagi mengetengahkan kepelbagaian warisan kebudayaan serantau

MELAKA, 28 Oktober – Kehadiran 30,000 pengunjung disasarkan ke Festival Pertukaran Budaya: Meraikan Warisan Silang Budaya 2026 yang berlangsung pada 31 Oktober hingga 1 November ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menampilkan penyertaan enam negara untuk mengetengahkan kepelbagaian warisan kebudayaan serantau dan mengukuhkan hubungan silang budaya antara peserta.
  • Pengisian termasuk persembahan tradisional, pameran warisan dan demonstrasi kemahiran kraf dari pelbagai negeri dan negara.
  • Melaka dipilih berdasarkan sejarahnya sebagai titik pertemuan pelbagai masyarakat; program dianjurkan bersama kementerian, kerajaan negeri dan CRIHAP di bawah naungan UNESCO.

Festival berkenaan, bakal menghimpunkan penyertaan enam negara bagi mengetengahkan kepelbagaian warisan kebudayaan serantau, selain mengukuhkan hubungan silang budaya antara negara peserta.

Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Nasrul Ahmad berkata, festival melibatkan Malaysia, Brunei Darussalam, China, Indonesia, Singapura dan Thailand.

“Pelbagai pengisian disediakan termasuk persembahan kesenian tradisional,pameran warisan serta demonstrasi kemahiran kraf.

“Antara persembahan yang dijadualkan termasuk gamelan, Mek Mulung, Mak Yong, wayang kulit, Dondang Sayang, Chingay dan tarian singa yang akan berlangsung di perkarangan Muzium Istana Kesultanan Melaka serta beberapa lokasi warisan berhampiran.

“Persembahan-persembahan daripada negara atau negeri terlibat dijadual berlangsung pada 31 Oktober dan 1 November ini.

“Dalam masa sama, perkongsian ilmu juga dilaksana pada festival itu,”katanya selepas Program “Kokenut Shake Dulu” di Melakafm.

Pemilihan Melaka sebagai tuan rumah amat bertepatan dengan sejarah dan identiti negeri yang sejak berabad menjadi titik pertemuan masyarakat serta pedagang dari pelbagai pelosok dunia.

Festival anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi Jabatan Warisan Negara mendapat kerjasama strategik Kerajaan Negeri Melaka dan Pusat Serantau bagi Latihan dan Penyelidikan Warisan Budaya Tidak Ketara di Rantau Asia Pasifik (CRIHAP), di bawah naungan UNESCO.

Tambahnya, penganjuran itu bukan sekadar mengetengahkan persembahan kebudayaan, malah menjadi platform masyarakat dan delegasi antarabangsa mengenali persamaan serta keunikan warisan yang dikongsi merentasi sempadan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.