Deepavali: Little India Brickfields jadi tumpuan pembeli

Suasana di Little India Brickfields

KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Menjelang sambutan Deepavali Ahad depan, suasana persiapan perayaan mula terasa apabila orang ramai mengunjungi Little India Brickfields untuk melengkapkan persiapan masing-masing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Little India Brickfields tumpuan pengunjung dari luar KL untuk pakaian, makanan dan hiasan perayaan pada harga berpatutan.
  • Peniaga lapor sambutan menggalakkan namun pengunjung terjejas oleh hujan dan trend pembelian menerusi media sosial.
  • Pembeli beli pakaian dan kuih-muih; muruku, biskut dan tradisional jadi antara barangan paling laris.

Tinjauan RTM mendapati, selain penduduk sekitar, lokasi berkenaan turut menjadi tumpuan pengunjung dari luar Kuala Lumpur yang ingin mendapatkan pelbagai pilihan barangan, termasuk pakaian, makanan dan hiasan perayaan pada harga berpatutan.

Bagi pengunjung, Chandra Segaran berkata, kepelbagaian pilihan serta suasana yang dihiasi dengan dekorasi menjadi antara tarikan utama untuk berkunjung dan membeli-belah di lokasi berkenaan.

“Ini kali pertama saya datang ke sini. Dekorasinya cantik dan terdapat banyak pilihan barangan. Jadi, kita boleh memilih mengikut citarasa masing-masing berbanding di kawasan lain yang mungkin mempunyai pilihan lebih terhad.

“Macam biasa, setiap tahun kita akan membeli pakaian baharu dan kuih-muih. Sekarang pun banyak produk baharu, jadi kita nak mencuba dan membeli sesuatu yang berbeza,” katanya

Bagi Kubera Kusalan, harga berpatutan dan pilihan pakaian yang pelbagai menjadi antara faktor utama memilih lokasi berkenaan untuk membeli-belah.

“Pilihan pakaian di sini banyak, sama seperti di kedai lain. Namun, dari segi harga, ada yang lebih murah kerana kebanyakan kedai menawarkan harga borong.

“Barangan juga disusun dengan kemas dan menarik. Jadi, kami mempunyai lebih banyak pilihan pada harga yang berpatutan,” katanya.

Sementara itu, Ananda Rao berkata, pembelian pakaian untuk ibu bapa dan saudara-mara antara persiapan awal yang dilakukannya sebelum kembali ke lokasi berkenaan bagi melengkapkan keperluan keluarganya.

“Hari ini saya mahu membeli pakaian untuk ibu bapa dan saudara-mara. Selepas ini, saya akan datang semula untuk membeli pakaian serta keperluan keluarga, termasuk untuk anak-anak,” katanya.

Bagi Geetha Sundrasaigram pula, kira-kira 50 peratus persiapan Deepavali telah diselesaikan, termasuk membuat kuih dan membersihkan rumah, manakala persiapan menghias rumah masih diteruskan.

“Setakat ini, kira-kira 50 peratus persiapan sudah selesai, termasuk membuat kuih dan membersihkan rumah.

“Sekarang, kami sedang melengkapkan persiapan hiasan dan masih ada beberapa barangan dekorasi yang perlu disediakan,” katanya.

Dalam pada itu, peniaga, Vijayan Somasundaram berkata, kehadiran pelanggan masih menggalakkan, namun jumlah pengunjung sedikit terjejas berikutan cuaca hujan serta perubahan trend pembelian menerusi media sosial.

“Pengunjung masih ramai, tetapi apabila hujan, kami terpaksa menunggu sehingga keadaan reda sebelum pelanggan datang.

“Bagaimanapun, jumlahnya sedikit berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana semakin ramai memilih untuk membeli barangan menerusi media sosial. Kami berharap lebih ramai pelanggan akan berkunjung dalam tempoh seminggu ini untuk membeli barangan hiasan, lampu dan kuih-muih,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Thinesh Surian Balachandran berkata, sambutan ketika ini meriah dan jumlah pengunjung dijangka meningkat pada hujung minggu, terutama Jumaat hingga Ahad.

“Setakat ini sambutan meriah dan masih ada seminggu lagi sebelum Deepavali. Menjelang hujung minggu ini, terutama Jumaat hingga Ahad, lebih ramai pengunjung dijangka memenuhi lokasi ini.

“Antara yang paling banyak mendapat permintaan ialah muruku, biskut dan makanan tradisional yang menjadi pilihan orang ramai,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.