
KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) sedang melaksanakan Kajian Tadbir Urus Responsif Gender ke arah pemerkasaan wanita di Malaysia yang disasarkan siap sepenuhnya menjelang pertengahan 2027.
- Menilai kefahaman, kesediaan dan amalan tadbir urus responsif gender; mengenal pasti isu, cabaran, jurang serta menganalisis amalan terbaik berkaitan GRB, GIA dan GA.
- Membangunkan kerangka pelaksanaan serta instrumen standard, praktikal dan berasaskan bukti untuk GRB, GIA dan GA, beserta syor, mekanisme pemantauan dan pelan tindakan berfasa hingga 2030.
- Penggunaan GIA, GA, data terperinci mengikut jantina dan indikator keberhasilan jelas bagi menilai perbelanjaan awam berdasarkan impak kesaksamaan gender.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kajian itu bertujuan meneliti dan memperkukuh pendekatan tadbir urus responsif gender dalam setiap fasa perancangan, pelaksanaan, pemantauan serta penilaian dasar kerajaan.
Langkah berkenaan penting bagi memastikan program dan perkhidmatan awam berkaitan pemerkasaan wanita dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berkesan.
“Objektif kajian ini adalah untuk menilai tahap kefahaman, kesediaan dan amalan semasa dalam pelaksanaan tadbir urus responsif gender, mengenal pasti isu, cabaran dan jurang pelaksanaan antara komitmen dasar dengan amalan sebenar serta menganalisis model dan amalan terbaik tempatan dan antarabangsa berkaitan Belanjawan Responsif Gender (GRB)Penilaian Impak Gender (GIA) dan Audit Gender (GA) kedua-dua itu adalah berkaitan.
“Kajian ini juga akan membangunkan cadangan kerangka pelaksanaan serta instrumen GRB, GIA dan juga GA yang standard, praktikal dan berasaskan bukti, di samping mengemukakan syor dasar, mekanisme pemantauan dan pelan tindakan berfasa bagi menyokong pelaksanaan instrumen tersebut menjelang tahun 2030,” katanya pada sesi penggulungan di Dewan Rakyat.
Menurut beliau, penggunaan instrumen seperti GIA dan GA, data terperinci mengikut jantina serta indikator keberhasilan yang jelas amat penting bagi memastikan perbelanjaan awam dinilai dengan lebih tepat berdasarkan impak sebenar terhadap kesaksamaan gender demi kesejahteraan seluruh rakyat.