
KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Kerajaan mewajibkan pengendali pusat data menggunakan sekurang-kurangnya 30 peratus tenaga boleh baharu (TBB) daripada keseluruhan penggunaan tenaga masing-masing.
- Pusat data digalakkan menyertai Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) untuk mendapatkan bekalan tenaga hijau secara langsung.
- Suruhanjaya Tenaga sedang membangunkan kerangka dan garis panduan menyeluruh bagi kemudahan penjanaan sendiri serta penggunaan tenaga boleh baharu oleh pusat data.
- Pengendali digalakkan guna program Solar for Self-Consumption (SELCO) tanpa salur lebihan ke Grid untuk elak pemindahan kos kepada pengguna lain.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga konvensional, sekali gus menyokong agenda peralihan tenaga negara.
“Pusat data turut digalakkan menyertai Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) bagi mendapatkan bekalan tenaga hijau secara langsung.
Dalam konteks ini, Suruhanjaya Tenaga (ST) sedang membangunkan kerangka dan garis panduan menyeluruh berkaitan kemudahan penjanaan tenaga sendiri serta penetapan penggunaan sekurang-kurangnya 30 peratus tenaga boleh baharu (TBB) untuk diguna pakai oleh sektor pusat data,” katanya di Parlimen.
Mengulas lanjut, beliau berkata pengendali pusat data turut digalakkan membangunkan kemudahan penjanaan tenaga sendiri menerusi program Solar for Self-Consumption (SELCO), tanpa menyalurkan lebihan elektrik ke Grid Nasional.
Langkah itu bertujuan memastikan peningkatan permintaan elektrik daripada industri pusat data tidak menyebabkan kos bekalan dipindahkan kepada pengguna lain.
“Kerajaan sentiasa mengutamakan keselamatan sistem, kecukupan kapasiti dengan margin rizab yang optimum dan selamat, kestabilan grid serta kesinambungan bekalan elektrik kepada semua pengguna, meskipun berdepan peningkatan beban daripada industri pusat data,” katanya lagi.