Sasaran pertumbuhan 7 peratus SG4 perlu disokong pelaksanaan berkesan

Foto Facebook Akmal Nasrullah

KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Sasaran pertumbuhan ekonomi sehingga tujuh peratus setahun bagi kerjasama empat negeri (SG4), memerlukan pelaksanaan projek yang berkesan serta penyelesaian isu infrastruktur asas, khususnya bekalan air bersih.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan pembangunan Persekutuan meningkat dan RMK13 meluluskan banyak projek bernilai tinggi bagi SG4.
  • Kelulusan pelaburan tidak menjamin penyelesaian projek atau pekerjaan; pelaksanaan berkesan perlu untuk manfaat ekonomi sebenar.
  • Isu infrastruktur asas, terutamanya bekalan air di Kedah dan Kelantan, perlu ditangani bagi menarik pelaburan dan sokong pembangunan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM723.75 bilion bagi Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis menjelang 2050 memerlukan komitmen semua pihak.

Menurutnya, usaha Kerajaan Persekutuan dalam menyokong pembangunan wilayah-wilayah berkenaan perlu turut dinilai bagi mengukur keupayaan pelaksanaan sasaran pertumbuhan itu.

Beliau berkata peruntukan pembangunan Persekutuan bagi empat negeri itu berjumlah RM7.70 bilion pada 2025, kira-kira 6.8 kali ganda berbanding peruntukan pembangunan gabungan kerajaan negeri.

Komitmen itu diteruskan menerusi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) 2026–2030, dengan sebanyak 1,487 projek pembangunan diluluskan bagi empat negeri berkenaan, melibatkan kos keseluruhan RM71.52 bilion.

Beliau berkata, siling peruntukan pembangunan di bawah Rolling Plan Kedua (RP2) 2027 turut meningkat kepada RM8.11 bilion berbanding RM7.98 bilion di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) 2026.

Antara projek strategik yang menyokong pembangunan wilayah itu ialah Kedah Rubber City, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Tok Bali Industrial Park, Kertih Biopolymer Park, Perlis Inland Port dan Chuping Valley Industrial Area.

Dari sudut pelaburan pula, data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) SG4 merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM37.23 bilion pada 2025, dengan potensi mewujudkan 18,319 peluang pekerjaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kelulusan pelaburan tidak semestinya bermakna projek telah disiapkan, manakala potensi pekerjaan pula tidak menjamin peluang pekerjaan itu benar-benar diwujudkan.

Beliau berkata, pelaksanaan projek perlu dipastikan berjalan lancar bagi membuka ruang kepada usahawan tempatan dalam rantaian bekalan serta mewujudkan pekerjaan berkualiti dengan pendapatan lebih baik.

Beliau turut membangkitkan isu infrastruktur asas, khususnya bekalan air bersih di Kedah dan Kelantan, yang perlu ditangani bagi menyokong pembangunan ekonomi serta menarik lebih banyak pelaburan.

Menurutnya, sasaran pembangunan ekonomi sehingga 2050 sukar dicapai sekiranya kemudahan asas tidak mencukupi, justeru isu berkenaan perlu diberi perhatian sewajarnya semua pihak berkaitan.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebooknya berhubung SG4 Business & Economic Forum 2026, yang diikutinya dari Moscow ketika menghadiri mesyuarat Forum Negara-Negara Pengeksport Gas (GECF).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.