
KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, yang meninggal dunia ketika menjalankan operasi pemantauan dan kawalan sempadan di perairan Sungai Padang, Perlis, awal pagi Selasa.
- Menteri rakam penghargaan atas pengorbanan, komitmen dan dedikasi anggota Maritim Malaysia menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara.
- Insiden menunjukkan tanggungjawab besar dan risiko tinggi anggota Maritim, termasuk insiden di Selat Melaka dan kawasan ESSCOM.
- Kerajaan beri keutamaan pengukuhan aset Maritim Malaysia; peningkatan aset ketara termasuk bot laju, kapal pelbagai guna, mothership, helikopter, dron dan radar.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas pengorbanan, komitmen dan dedikasi anggota Maritim Malaysia yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi melaksanakan amanah menjaga keselamatan serta mempertahankan kedaulatan perairan negara.
“Kita mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Ketua Pengarahnya, Datuk Rosli, kini berada di lokasi bersama keluarga mangsa.
Insiden ini juga memberi ruang untuk kita melihat betapa besarnya tanggungjawab Maritim Malaysia di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), serta disiplin dan kesungguhan tinggi yang ditunjukkan anggotanya dalam mempertahankan kedaulatan maritim negara. Itulah antara risiko yang terpaksa mereka hadapi ketika menjalankan tugas,” katanya di Dewan Rakyat, pada Selasa.
“Ini bukan insiden pertama yang berlaku. Insiden di Selat Melaka dan kawasan ESSCOM antara risiko yang dihadapi anggota ketika menjalankan tugas.
“Namun, dari segi kompetensi, latihan, proses dan prosedur serta peralatan, Maritim Malaysia merupakan antara agensi yang diberi keutamaan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), khususnya dalam penyediaan aset,” tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan akan terus giat memberi keutamaan kepada pengukuhan keupayaan aset Maritim Malaysia.
“Saya berusaha bersungguh-sungguh dengan sokongan anggota Jemaah Menteri untuk memastikan Maritim Malaysia dilengkapi aset yang mencukupi.
“Ini termasuk bot laju, kapal pelbagai guna (multi-purpose mission ship), kapal induk (mothership), helikopter, dron dan radar.
Dalam tempoh tiga hingga empat tahun kebelakangan ini, Maritim Malaysia merupakan antara agensi penguatkuasaan di bawah KDN yang menerima peningkatan keupayaan aset paling ketara,” ujar beliau.