
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Parlimen
KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Sebanyak 968 serbuan berkaitan sindiket penipuan dilaksanakan dari 2024 hingga September 2026, dengan 7,262 individu ditahan.
- Pemprofilan mendapati 2,912 tahanan pernah bekerja atau berada di Kemboja.
- Kerjasama antarabangsa dipertingkatkan melalui INTERPOL, ASEANAPOL dan saluran kerjasama polis dengan polis.
- Kementerian mempergiat risikan dan operasi serbuan terhadap pusat panggilan untuk melumpuhkan struktur sindiket.
- Antara 2023 hingga Ogos 2026 ditangkap 36 dalang, 74 pengurus, 165 penyelia, 118 urus akaun keldai, 132 pengaturcara dan 8,500 operator.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hasil pemprofilan lanjut mendapati 2,912 daripada individu yang ditahan mempunyai rekod pernah bekerja atau berada di Kemboja.
“Maklumat ini tentunya membantu memperkukuh risikan dan pemantauan terhadap pergerakan sindiket rentas sempadan.
Justeru, kerjasama antarabangsa menerusi INTERPOL, ASEANAPOL dan saluran kerjasama polis dengan polis (police-to-police) terus dipertingkatkan.
Sebab itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa memanfaatkan jemputan ke forum, seminar dan pertemuan antarabangsa sebagai peluang untuk bertukar pandangan serta mempelajari amalan terbaik daripada negara lain,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2027 bagi pihak kementeriannya di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Mengulas lanjut strategi membanteras jenayah berkenaan, beliau berkata pihak berkuasa mempergiat risikan dan operasi serbuan terhadap premis yang dikenal pasti sebagai pusat panggilan penipuan (scam calling centre).
Operasi itu bukan sekadar menyasarkan operator, malah bertujuan melumpuhkan keseluruhan struktur operasi sindiket berkenaan.
Langkah itu penting bagi memutuskan rantaian arahan, teknikal, komunikasi dan kewangan yang membolehkan sindiket berkenaan menjalankan kegiatan mereka di dalam negara.
“Bagi tempoh 2023 hingga Ogos 2026, tangkapan melibatkan pelbagai peringkat dalam operasi pusat panggilan sindiket, termasuk 36 dalang, 74 pengurus, 165 penyelia, 118 individu yang menguruskan akaun keldai bagi tujuan kewangan, 18 kakitangan bahagian komunikasi dan 132 pengatur cara teknologi maklumat (IT).
Selain itu, seramai 8,500 operator dan 157 pekerja am turut ditahan,” katanya.