Op Taring Dosej: Produk kesihatan, kosmetik tiruan bernilai RM765,750 dirampas

Foto PDRM

KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Sebanyak 9,257 unit produk kesihatan, kosmetik serta barangan berjenama disyaki tiruan bernilai RM765,750 dirampas dalam operasi ‘Op Taring Dosej’ di sebuah syarikat kurier dan logistik di ibu negara semalam (Isnin).

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi melibatkan WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM dan KPDN Putrajaya menumpaskan penyimpanan serta pengedaran barangan disyaki.
  • Pemeriksaan mengesan 9,130 unit produk kesihatan dan kosmetik tidak berdaftar serta 127 barangan tiruan jenama Adidas, Coach dan Tory Burch.
  • Dua pekerja warga asing ditahan disiasat kesalahan imigresen manakala siasatan lanjut dijalankan mengikut peruntukan kawal selia dan Akta Cap Dagangan.

Komander Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) JKDNKA Bukit Aman, SAC Datuk Mohd Zaki Ashar menerusi kenyataan , memaklumkan operasi kira-kira pukul 10.50 pagi itu dijalankan Pasukan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) bersama-sama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman bersama Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Kuala Lumpur serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya.

SAC Datuk Mohd Zaki Ashar berkata premis berkenaan disyaki dijadikan lokasi penyimpanan dan pengedaran barangan yang melanggar undang-undang.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan dua lelaki warga asing berusia 23 dan 29 tahun yang bekerja sebagai pekerja pembungkusan bagi membantu siasatan kesalahanan imigresen”, ujarnya menerusi kenyataan.

Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 9,130 unit produk kesihatan dan kosmetik pelbagai jenama tidak berdaftar dengan KKM bernilai RM734,000, serta 127 unit barangan tiruan jenama Adidas, Coach dan Tory Burch bernilai RM31,750.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Peraturan 7(1)(a) dan Peraturan 18A Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Tambah beliau, siasatan berkaitan barangan tiruan pula dibuat di bawah Seksyen 102 Akta Cap Dagangan 2019.

Manakala tangkapan warga asing disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam pada itu, pihak berkuasa turut mengambil keterangan penyelia premis bagi membantu siasatan susulan rangkaian pembekalan berkenaan.

Untuk rekod, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman merekodkan nilai rampasan keseluruhan RM335.96 juta menerusi 286 serbuan dan 467 tangkapan bagi tempoh 1 Januari hingga 26 Oktober lepas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.