
KEMAMAN, 27 Oktober – Seorang bekas guru mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol dan mencabul anak perempuan tirinya pada tahun 2023 dan 2024.
- Dua pertuduhan: rogol di Mahkamah Sesyen (20 Mei 2024, rumah kedai Pekan Kemasik) dan mencabul di Mahkamah Majistret (Oktober 2023, rumah di Kijal).
- Pertuduhan rogol mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan: hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan; pertuduhan mencabul mengikut Seksyen 354.
- Mahkamah membenarkan jamin RM8,000 (Mahkamah Sesyen) dan RM3,000 (Majistret), syarat lapor diri polis setiap bulan; sebutan semula 24 November.
Tertuduh, 59, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan itu masing-masing dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Wan Suhaila Mohd dan Majistret Marsha Abdul Malik di dua kamar berasingan.
Di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa merogol anak perempuan tirinya yang ketika itu berusia 25 tahun tanpa kerelaannya pada 20 Mei 2024, kira-kira pukul 2.20 petang di sebuah rumah kedai di Pekan Kemasik di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret pula, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan mangsa dengan cara meraba dan menyentuh mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan terhadap mangsa yang sama pada Oktober 2023, antara pukul 12.45 tengah malam hingga 1 pagi di dalam bilik anak tirinya di sebuah rumah di Kijal di sini.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.
Hakim Wan Suhaila membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran pada minggu pertama setiap bulan.
Manakala Majistret Marsha membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan di Mahkamah Sesyen dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hafiz Mohd. Khair, manakala kes di Mahkamah Majistret dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Muhammad Arif Mohd. Amin.
Tertuduh diwakili peguam Muhammad Ariff Syarifuddin Saibi.
Kedua-dua kes akan disebut semula pada 24 November depan untuk serahan dokumen.