
IPOH, 27 Oktober – Polis mengesahkan menerima laporan daripada ibu seorang pelajar sebuah sekolah di Bagan Datuk pada 24 Oktober lalu berhubung dakwaan gangguan seksual membabitkan seorang guru terhadap anaknya.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 15(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.
- Guru membuat laporan polis pada 25 Oktober kerana tidak berpuas hati dengan penularan video.
- Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
- Guru dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah Bagan Datuk sementara menunggu hasil siasatan.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, kes disiasat mengikut Seksyen 15(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.
Selain itu, guru terbabit turut membuat laporan polis pada 25 Oktober lalu kerana tidak berpuas hati dengan penularan video berkenaan.
“Kes ini juga disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Kita akan lakukan siasatan dengan teliti kerana kes ini melibatkan penjawat awam,” jelasnya kepada pemberita ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini.
Terdahulu, video berdurasi 50 saat berkait kes terbabit memaparkan seorang guru diserang oleh keluarga mangsa selepas didakwa membuat panggilan mesra terhadap pelajar tersebut.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek memaklumkan guru tersebut telah dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bagan Datuk sementara menunggu hasil siasatan.