
KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Prestasi Belanjawan MADANI sejak 2023 wajar dinilai bukan sahaja berdasarkan jumlah peruntukan yang diumumkan tetapi melalui keberkesanan pelaksanaan pelbagai inisiatif, termasuk bantuan kepada rakyat dan projek pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
- Gabungan peruntukan dan pelaburan dianggarkan mencapai RM510 bilion untuk pembangunan dan taraf hidup rakyat.
- Penekanan kepada pengurusan kewangan yang kukuh dan pengurangan defisit fiskal secara berperingkat untuk memastikan kelestarian fiskal.
- Pelaksanaan inisiatif serta peningkatan bantuan dan projek pembangunan memberi manfaat langsung kepada masyarakat.
- Penilaian institusi antarabangsa seperti Bank Dunia dan IMF menyokong analisis prestasi serta prospek ekonomi negara.
Menurut Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, peningkatan peruntukan bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan, disokong oleh pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi kerajaan serta syarikat milik penuh kerajaan, mencerminkan usaha kerajaan merangsang pertumbuhan ekonomi, memperkukuh pembangunan negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Belanjawan MADANI bukan sekadar angka peruntukan, sebaliknya disusuli pelaksanaan pelbagai inisiatif, termasuk peningkatan bantuan kepada rakyat dan pelaksanaan projek pembangunan.
“Usaha ini turut disokong oleh data serta penilaian institusi kewangan antarabangsa seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), yang memberikan gambaran tentang prestasi dan kedudukan ekonomi Malaysia.
“Ia turut menerbitkan analisis mengenai prestasi serta prospek ekonomi negara. Penilaian ini penting dalam melihat perkembangan pelaburan dan kedudukan ekonomi Malaysia secara keseluruhan,” katanya kepada RTM.
Tambah beliau, kerajaan juga terus memberi penekanan kepada usaha mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat serta memperkukuh pengurusan kewangan negara.
Matlamatnya ujar beliau, untuk memastikan kedudukan kewangan negara kekal mampan, sekali gus membolehkan peruntukan kerajaan memberikan manfaat yang lebih besar kepada rakyat.
Belanjawan 2027 mampu menterjemah peruntukan dan komitmen kerajaan kepada manfaat nyata yang dapat meningkatkan keejahteraan rakyat, menangani kos sara hidup serta menjamin kestabilan ekonomi negara.
Secara keseluruhan, jumlah peruntukan dan pelaburan yang digabungkan dianggar mencecah RM510 bilion bagi menyokong pembangunan negara dan meningkatkan taraf hidup rakyat.