
KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Penyusutan terbitan hutang baharu dari tahun ke tahun mencerminkan usaha kerajaan mengawal beban hutang, di samping memperkukuh pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia.
- Mempergiat usaha membanteras rasuah, ketirisan dan kebocoran untuk memperkukuh tadbir urus dan memulihkan kedudukan kewangan negara.
- Amalan pengurusan kewangan lebih cekap dan berhemah bagi mengurangkan kebergantungan kepada hutang baharu dan penggunaan sumber yang optimum.
- Menumpukan pada peningkatan hasil negara serta belanjawan lebih berimbang, disokong Belanjawan 2027 untuk kesejahteraan, pendidikan, kesihatan dan bantuan sosial.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pengukuhan nilai ringgit turut menjadi antara perkembangan positif ekonomi negara.
“Meskipun jumlah hutang negara terus meningkat, kadar pertambahan semakin perlahan.
Ini membuktikan komitmen kerajaan untuk mengawal pertambahan hutang secara berhemah dan mengelak beban kewangan negara terus meningkat mendadak,” katanya kepada RTM.
Beliau berkata kerajaan MADANI terus mempergiat usaha membanteras rasuah, ketirisan dan kebocoran hasil negara yang telah memberi kesan besar terhadap kedudukan kewangan negara sebelum ini.
“Pengurusan kewangan yang lebih cekap dan berhemah ini penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada hutang baharu serta memastikan sumber kewangan negara digunakan secara optimum.
“Langkah ini penting bagi memastikan peningkatan hutang dapat dikawal pada tahap yang munasabah tanpa menjejaskan keupayaan kerajaan untuk memenuhi keperluan pembangunan dan kebajikan rakyat.
“Kerajaan juga memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan hasil pendapatan negara serta memastikan perbelanjaan awam diurus secara berhemah.
“Langkah ini penting bagi mengawal beban hutang sedia ada dan meletakkan negara ke arah belanjawan yang lebih berimbang, iaitu apabila hasil kerajaan semakin menghampiri jumlah perbelanjaannya,” ujarnya lagi.
Belanjawan 2027 memperuntuk RM510 bilion bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pembangunan ekonomi, pendidikan, kesihatan dan bantuan sosial, selain meringankan beban kos sara hidup serta memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan.