
KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya yang berada di kawasan berisiko tinggi supaya sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga apabila berdepan Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula hari ini.
- METMalaysia ramal 3 hingga 5 episod hujan lebat Nov 2026 hingga Jan 2027, meningkatkan risiko banjir terutama kawasan sungai dan tanah rendah.
- Ikut amaran cuaca dan arahan pihak berkuasa; segera berpindah ke PPS jika diarahkan dan jangan mengambil risiko meredah air banjir.
- Sediakan beg kecemasan berisi dokumen penting, ubat, keperluan asas dan nombor kecemasan disimpan di tempat selamat dan mudah dicapai.
Beliau berkata, fenomena MTL yang dijangka berterusan hingga Mac 2027 itu berpotensi membawa cuaca ekstrem yang boleh menjejaskan kehidupan seharian masyarakat.
Menurut kenyataan di Facebook rasminya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan antara tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan bakal berlaku dalam tempoh November 2026 hingga Januari 2027.
“Keadaan ini dijangka meningkatkan risiko berlaku banjir, khususnya bagi penduduk di kawasan berhampiran sungai dan kawasan tanah rendah. Selain itu, tiupan angin kencang berpotensi menyebabkan laut bergelora dan fenomena kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan,” kata beliau.
Sehubungan itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid mengingatkan penduduk di kawasan tumpuan (hotspot) supaya sentiasa peka dengan ramalan serta amaran cuaca terkini yang dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
Beliau turut menekankan beberapa langkah berjaga-jaga utama yang perlu diambil oleh orang ramai.
“Antaranya segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya diarah oleh pihak berkuasa dan jangan mengambil risiko meredah air banjir.
“Mengelak kawasan berisiko iaitu menghindari daripada berada di kawasan yang mudah dinaiki air atau lokasi rekreasi air yang berbahaya,” jelasnya.
Di samping itu, beliau mengingatkan orang ramai agar menyediakan beg kecemasan yang mengandungi dokumen penting, bekalan ubat-ubatan, keperluan asas serta senarai nombor telefon kecemasan disimpan di tempat selamat dan mudah dicapai.
“Keselamatan diri dan keluarga mesti menjadi keutamaan kita semua. Insya-Allah, semoga kita semua dijauhkan daripada sebarang musibah serta sentiasa berada dalam lindungan-Nya,” tambah beliau.