
KUALA LUMPUR, 27 Oktober- Pelaksanaan Inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) akan diperkukuh menerusi penggunaan teknologi alternatif seperti Starlink dan sel kecil bagi mencapai sasaran 100 peratus liputan internet di kawasan berpenduduk.
- Peruntukan RM5 bilion beberapa tahun untuk sambungkan baki satu peratus kawasan berpenduduk tanpa liputan internet.
- Liputan internet di kawasan berpenduduk kini mencapai 99 peratus; baki kawasan perlukan penyelesaian praktikal mengikut geografi dan saiz komuniti.
- JENDELA beri tumpuan kepada jalan penghubung rancangan FELDA ke pekan yang masih mengalami masalah liputan menimbulkan risiko kepada pengguna.
- Peralihan tumpuan daripada COPA ke Liputan Kawasan Ekonomi, peruntukan RM142 juta untuk 1,099 Pusat NADI dan peningkatan literasi digital serta keselamatan dalam talian.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pendekatan itu mengambil kira keperluan komuniti setempat khususnya di kawasan pedalaman yang sukar diakses dan tidak sesuai untuk pembinaan menara telekomunikasi.
Menurut beliau, strategi berkenaan disokong peruntukan RM5 bilion dalam tempoh beberapa tahun bagi menghubungkan baki satu peratus kawasan berpenduduk yang masih belum mendapat liputan internet.
“Bukan semua tempat kita akan pasang menara telekomunikasi. Sesetengah tempat kita akan pasang Starlink, sesetengah tempat kita akan pasang sel kecil, cukup untuk 40 hingga 50 orang yang tinggal di kawasan itu.
“Isunya kita hendak pastikan 100 peratus liputan dapat disediakan di kawasan berpenduduk, termasuk di kawasan paling pedalaman,” katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan temu bual bertajuk “Belanjawan 2027: Rapatkan Jurang Digital, Pacu Ekonomi Kreatif” terbitan Agenda AWANI malam tadi.
Beliau berkata liputan internet di kawasan berpenduduk kini mencapai 99 peratus, manakala baki kawasan yang belum diliputi memerlukan penyelesaian lebih praktikal berdasarkan keadaan geografi dan saiz komuniti setempat.
Selain kawasan pedalaman, JENDELA turut memberi tumpuan kepada jalan penghubung antara rancangan FELDA dengan pekan yang masih berdepan masalah liputan internet.
Datuk Seri Fahmi berkata meskipun liputan di dalam kawasan rancangan FELDA memuaskan, terdapat jalan utama yang menghubungkan kawasan berkenaan dengan pekan masih tidak mempunyai liputan, sekali gus menimbulkan risiko kepada pengguna.
Beliau berkata penambahbaikan JENDELA turut merangkumi peralihan tumpuan daripada Liputan Kawasan Berpenduduk (COPA) kepada Liputan Kawasan Ekonomi bagi memastikan kemudahan internet menyokong aktiviti ekonomi setempat.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan memperuntukkan RM142 juta bagi memperkasakan 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara.
Datuk Seri Fahmi berkata penyediaan infrastruktur internet berkelajuan tinggi perlu disertai peningkatan literasi digital dan kesedaran keselamatan dalam talian bagi membendung jenayah siber serta penipuan dalam talian.