Kementerian Komunikasi mulakan persiapan sambutan Merdeka ke-70

Foto RTM

PUTRAJAYA, 27 Oktober – Persiapan awal sambutan ulang tahun ke-70 kemerdekaan negara pada 2027 akan dimulakan Kementerian Komunikasi sebelum diselaraskan dengan semua kementerian bagi memastikan penganjurannya dilaksanakan secara menyeluruh.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, penyelarasan itu akan dibuat menerusi pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi memastikan sambutan berkenaan melibatkan seluruh jentera kerajaan serta pelbagai lapisan masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyelarasan sambutan akan dilakukan menerusi pejabat Ketua Setiausaha Negara untuk melibatkan seluruh jentera kerajaan dan lapisan masyarakat.
  • Majlis apresiasi diharap menyuntik semangat serta menggalak kerjasama dan komitmen semua pihak bagi menjayakan sambutan tahun depan.
  • Acara Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 menarik lebih 100,000 pengunjung fizikal serta meraih jutaan tontonan dalam talian.
  • Penganjuran menerima tajaan RM51.5 juta, sebahagian besar barangan dan perkhidmatan; kejayaan hasil komitmen meskipun berdepan cabaran jerebu.

Beliau berkata, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, telah diminta memulakan persiapan awal bagi memastikan perancangan sambutan tahun depan dapat dilaksanakan dengan teratur.

“Persiapan akan dimulakan di peringkat Kementerian Komunikasi sebelum diperluas kepada semua kementerian melalui pejabat KSN, bagi memastikan sambutan kemerdekaan ke-70 dilaksanakan secara menyeluruh dengan penglibatan seluruh kerajaan dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 di sini, pada Isnin.

Fahmi berharap sambutan apresiasi itu dapat menyuntik semangat kepada semua pihak untuk meneruskan kerjasama dan komitmen dalam menjayakan sambutan kemerdekaan tahun depan.

Dalam pada itu, beliau berkata sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 berjaya menarik lebih 100,000 pengunjung secara fizikal, selain meraih jutaan tontonan menerusi platform dalam talian.

Penganjuran itu turut menerima tajaan berjumlah RM51.5 juta, sebahagian besarnya dalam bentuk barangan dan perkhidmatan.

Lebih 10,800 peserta menyertai perbarisan dan perarakan yang membabitkan 76 kontinjen serta 22 kumpulan pancaragam.

Menurutnya, kejayaan itu hasil komitmen semua pihak termasuk jabatan dan agensi kerajaan, rakan media serta penaja, meskipun penganjuran berdepan cabaran jerebu beberapa hari sebelum acara utama.

Beliau berharap kejayaan tahun ini menjadi pemangkin kepada perancangan lebih rapi bagi memastikan sambutan ulang tahun ke-70 kemerdekaan negara pada 2027 dapat diraikan dengan lebih bermakna serta mendapat penyertaan menyeluruh rakyat Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.