Kemalangan babitkan MPV, pikap : Tiga sekeluarga maut

Kesemua mangsa yang tersepit berjaya dibawa keluar

DUNGUN, 25 Oktober – Tiga sekeluarga maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan, petang tadi di Kilometer 88.5 Jalan Kuantan-Kuala Terengganu di kawasan Bukit Bauk, Dungun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa Mohammad Zulkifli Ishak, 32, dan isteri Norshila Zali, 32, disahkan meninggal di lokasi oleh pasukan perubatan.
  • Adik mangsa, Muhammad Alif Syukri Ishak, 18, meninggal ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Dungun sekitar pukul 7 malam.
  • Rakaman dashcam menunjukkan MPV tiba-tiba hilang kawalan, memasuki laluan bertentangan sebelum dilanggar pikap TNB.
  • Mangsa tersepit berjaya dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat, mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Dalam insiden melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) serta sebuah pikap milik Tenaga Nasional Berhad (TNB), kira-kira pukul 5 petang, mangsa, Mohammad Zulkifli Ishak dan isteri, Norshila Zali, masing-masing berusia 32 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, yang juga adik kepada Mohammad Zulkifli iaitu Muhammad Alif Syukri Ishak, 18 tahun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 7.00 malam tadi ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Dungun.

Insiden turut mengakibatkan pemandu dan penumpang pikap, masing-masing Muhammad Fadhlan Abd Manan, 32 tahun dan Mohamad Syafiq Narullah Said, 39 tahun, cedera.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat menerusi kenyataan mengesahkan mengenai insiden berkenaan.

Sebelum kejadian, kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuantan, Pahang menuju ke Kuala Krai, Kelantan.

Berdasarkan rakaman kamera papan pemuka atau ‘dashcam, kenderaan MPV yang dinaiki tiga sekeluarga itu dipercayai secara tiba-tiba hilang kawalan ketika melalui selekoh dan memasuki laluan bertentangan.

Pada masa sama, kenderaan pikap TNB yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kiri kenderaan MPV berkenaan.

Kesemua mangsa yang tersepit berjaya dibawa keluar oleh sepasukan anggota bomba dan penyelamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.