JPJ keluar 519 saman kes bawa penumpang tanpa permit

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifly Ismail meninjau operasi pemeriksaan terhadap pemandu perkhidmatan limosin di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, pagi tadi./ JPJ

GEORGE TOWN, 25 Oktober – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan 519 notis terhadap pemandu kenderaan yang dikesan membawa penumpang tanpa permit sah bagi tempoh 1 Januari hingga 24 Oktober tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • JPJ memeriksa 1,056 kenderaan dan mengambil tindakan terhadap 496 kenderaan disyaki membawa penumpang tanpa permit.
  • Pemandu sering memberi alasan sekadar mahu mengambil rakan ketika dikesan melakukan kesalahan.
  • Kesalahan ini boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
  • Dalam operasi di Lapangan Terbang Pulau Pinang, 12 kenderaan diperiksa, enam notis dan tiga kes dikesan.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifly Ismail berkata, sebanyak 1,056 kenderaan yang disyaki melakukan kesalahan itu telah diperiksa dalam tempoh berkenaan, dengan tindakan diambil terhadap 496 kenderaan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 496 kenderaan telah diambil tindakan, dengan 519 notis dikeluarkan

“Antara alasan yang sering diberikan pemandu yang melakukan kesalahan itu ialah sekadar mahu mengambil rakan,” katanya.

Kesalahan membawa penumpang tanpa permit sah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Zulkifly berkata, JPJ memandang serius kegiatan berkenaan kerana boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya selain mewujudkan persaingan tidak adil kepada pengusaha perkhidmatan pengangkutan yang berdaftar.

Beliau berkata demikian kepada media selepas pemeriksaan terhadap pemandu perkhidmatan limosin di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, pagi tadi.

Dalam operasi tersebut, sebanyak 12 kenderaan diperiksa, dengan enam notis dikeluarkan melibatkan tiga kenderaan yang didapati melakukan kesalahan mengambil penumpang tanpa permit sah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.