Syed Budriz Putra Jamalullail dahului enam penerima Darjah Kebesaran Selangor

Foto BERNAMA

KLANG, 25 Oktober – Orang Besar Istana Engku Maharaja Lela Setia Paduka Datuk Syed Budriz Putra Jamalullail Syed Amir Abidin Jamalullail mendahului senarai enam penerima Darjah Kebesaran Negeri Selangor sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sultan Sharafuddin menganugerahkan S.P.M.S. kepada Timbalan Perdana Menteri, Ketua Hakim Negara dan Pengerusi Westports.
  • Dua individu dimasyurkan sebagai Orang Besar Istana dan seorang dilantik Dato' Diraja; mereka mengangkat sumpah serta menerima keris panjang.
  • Seramai 25 calon diperakukan dalam Mesyuarat Dewan di-Raja; 19 lagi akan menerima pengurniaan pada 1 November.

Syed Budriz Putra Jamalullail dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran ‘Dato’ Seri’.

Berangkat sama pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor yang yang berlangsung di Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang itu ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah bersama isteri Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz.

Pada istiadat itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan menganugerahkan Darjah S.P.M.S. kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Hakim Negara Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Pengerusi Eksekutif, Westports Holdings Berhad Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah.

Sementara itu, Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S.) yang membawa gelaran ‘Dato’ Setia’ kepada Datuk Diraja Selangor, Datuk Lela Jasa Diraja Datuk Richard Alexander John Curtis.

Turut menerima darjah kebesaran sama ialah bekas Penasihat Undang-undang Negeri Selangor (2020-2026) Datuk Salim Soib@Hamid.

Turut berlangsung Istiadat Pemasyhuran Gelaran dan Mengangkat Sumpah serta Menjunjung Duli Orang-Orang Besar Istana dan Dato’ Diraja Selangor.

Dalam istiadat itu dua individu dimasyurkan sebagai Orang Besar Istana iaitu Raja Datuk Reza Alhaj Raja Zaib Shah Alhaj dengan gelaran Engku Sri Paduka Diraja dan Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Ardy Esfandiari Alhaj dengan gelaran Tengku Orang Kaya Menteri Diraja.

Turut dimasyurkan Datuk Dr Aljafri Abdul Majid sebagai Dato’ Diraja Selangor dengan gelaran Dato’ Sri Maharaja Diraja.

Dalam istiadat tersebut, ketiga-tiga individu berkenaan mengangkat sumpah serta menandatangani akuan sumpah gelaran sebelum dikurniakan keris panjang daripada Sultan Sharafuddin.

Mereka juga perlu meninggalkan negeri Selangor selama tujuh hari mulai hari ini sebelum kembali semula bagi istiadat menjunjung duli.

Istiadat itu turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dalam kenyataan berkata seramai 25 orang calon telah diperakukan dalam Mesyuarat Dewan di-Raja pada 6 Oktober lepas sebagai penerima Darjah Kebesaran Negeri Selangor sebelum senarai berkenaan mendapat perkenan Sultan Selangor.

Baki seramai 19 orang penerima Darjah Kebesaran Kelas Kedua dan Kelas Ketiga akan menerima pengurniaan dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan yang dijadualkan pada 1 November ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.