
ULASAN BERITA
- Penyerapan doktor kontrak beri kepastian kerjaya dan kestabilan hidup, tetapi itu hanya permulaan reformasi.
- Cabaran utama ialah mengekalkan doktor melalui peluang latihan kepakaran, kemajuan kerjaya dan pengagihan tenaga kerja mengikut keperluan.
- Kejayaan diukur apabila kekosongan berkurang, masa menunggu dipendekkan dan pesakit menerima penjagaan lebih cepat dan berkualiti.
Adakah penyerapan doktor kontrak ke jawatan tetap bermakna isu tenaga kerja kesihatan negara akhirnya selesai?
Satu masalah besar sedang ditangani, namun perjalanan reformasi belum berakhir.
Semasa membentangkan Belanjawan 2027, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan lebih 9,000 pegawai perubatan kontrak akan ditawarkan jawatan tetap.
Langkah ini penting kerana isu doktor kontrak bukan sekadar soal gaji atau pangkat. Perjalanan menjadi doktor mengambil masa yang tidak singkat.
Selepas tamat pengajian, mereka harus menjalani latihan siswazah selama dua tahun, sebelum menjadi pegawai perubatan.
Namun bagi ramai doktor muda, setelah melalui latihan yang panjang, ketidakpastian masih berterusan. Adakah mereka mempunyai masa depan yang jelas dalam sistem kesihatan awam?
Bekas Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. R. Thiruna-vukarasu pernah menyifatkan sistem doktor kontrak yang diperkenalkan pada 2016 sebagai satu kegagalan dasar.
Menurut beliau, ketidakjelasan laluan kerjaya mengakibatkan doktor berasa tidak dihargai, malah mendorong sebahagian mereka meninggalkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan berhijrah ke luar negara.
Oleh itu, selepas latihan siswazah, doktor memerlukan laluan kerjaya yang jelas dan jaminan pekerjaan lebih baik untuk terus kekal dalam sistem kesihatan awam.
Sebab itulah, langkah kerajaan MADANI menoktahkan era doktor kontrak bukan perubahan kecil. Ia usaha merungkai ketidakpastian dan meredakan kebimbangan yang berlarutan hampir sedekad.
Bagi sesetengah orang, belanjawan mungkin sekadar angka. Tetapi bagi doktor kontrak yang menunggu bertahun-tahun, jawatan tetap membawa makna lebih besar.
Ia tentang kepastian kerjaya, kestabilan hidup dan keyakinan untuk terus berkhidmat dalam sektor awam. Namun, di sinilah ujian sebenar bermula. Adakah jawatan tetap sahaja mencukupi?
Setakat 30 Jun lalu, KKM merekodkan lebih 13,000 kekosongan jawatan doktor.
1,660 daripadanya membabitkan pegawai perubatan pakar, manakala 11,412 lagi pegawai perubatan bukan pakar.
Antara 2024 hingga tahun ini pula, 3,510 pegawai perubatan tetap dan kontrak meletak jawatan.
Lebih separuh daripadanya, iaitu 51.4 peratus, berpunca daripada tawaran kerja di sektor swasta.
Maknanya, cabaran kerajaan selepas ini bukan sekadar menyerap doktor, tetapi mengekalkan mereka.
Presiden MMA, Dr. L. Sivanaesan melihat penyerapan doktor kontrak sebagai perkembangan penting.
Namun, penyerapan itu mesti disusuli lebih banyak peluang latihan kepakaran, kemajuan kerjaya serta pengagihan tenaga kerja lebih baik.
Ini kerana isu sebenar bukan sekadar jumlah doktor, tetapi sama ada mereka ditempatkan di lokasi yang diperlukan dan disokong kapasiti rawatan mencukupi.
Belanjawan 2027 menangani cabaran itu dari sudut penyampaian perkhidmatan.
RM200 juta diperuntukkan bagi penyumberluaran rawatan, peluasan penggunaan fasiliti swasta dan aturan khidmat pakar kerajaan yang bersara serta pakar swasta lebih anjal.
Matlamatnya jelas iaitu mengurangkan masa menunggu pesakit.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sendiri meletakkan tiga perkara sebagai keutamaan termasuk menoktahkan era doktor kontrak, mengurangkan masa menunggu pesakit dan memperbaiki fasiliti kesihatan.
Menurut beliau, pengalaman semasa menunjukkan perubahan pada operasi sistem sememangnya memberi kesan positif.
Enam hospital kerajaan berjaya merawat sekurang-kurangnya 70 peratus pesakit bukan kecemasan dalam tempoh dua jam, berbanding purata empat hingga enam jam sebelum ini.
Kehadiran pesakit di hospital terbabit juga berkurang sembilan peratus selepas waktu operasi klinik kesihatan terpilih dilanjutkan.
Di sinilah ukuran kejayaan perlu berubah. Bukan sekadar berapa ramai doktor diserap, namun adakah kekosongan jawatan berkurang?
Adakah doktor mahu terus kekal dalam sektor awam? Dan paling penting, adakah pesakit menerima rawatan lebih cepat dan lebih baik?
Noktah sebenar hanya boleh diletakkan apabila kepastian kerjaya doktor diterjemahkan kepada tenaga kerja lebih stabil, masa menunggu lebih pendek dan penjagaan kesihatan lebih baik.
Kerana akhirnya, kejayaan dasar kesihatan bukan dinilai pada besar angka yang diumumkan, tetapi perubahan yang benar-benar dirasai petugas dan pesakit.
Ulasan Berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Andy Reza Rohadian.