
KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Ketepatan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) rasmi negara dipastikan menerusi prosedur jaminan kualiti, penentukuran peralatan dan audit prestasi instrumen bagi mengelakkan ketidaknormalan data menjejaskan maklumat kualiti udara kepada orang ramai.
- Data dipantau berterusan melalui Pusat Data Kualiti Alam Sekitar untuk mengesan perubahan bacaan dan membolehkan tindakan pembetulan.
- Bacaan IPU dikemas kini setiap jam dan pengiraan PM2.5 serta PM10 menggunakan kepekatan purata bergerak 24 jam.
- Kerajaan akan memperkukuh penyampaian maklumat termasuk penerangan kaedah pengiraan, perubahan trend kualiti udara dan langkah perlindungan kesihatan.
- Orang ramai disaran merujuk Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia APIMS atau aplikasi MyJAS EQMS bagi bacaan rasmi.
Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, proses berkenaan dilaksanakan menerusi Pelan Projek Jaminan Kualiti (QAPP), termasuk pemeriksaan automatik harian dan penentukuran berkala menggunakan gas piawai yang boleh dijejak kepada piawaian metrologi antarabangsa.
“Protokol itu merangkumi pemeriksaan sifar dan rentang secara automatik setiap hari, penentukuran berkala menggunakan gas piawai yang boleh dijejak kepada piawaian metrologi antarabangsa di bawah Institut Piawaian dan Teknologi Kebangsaan Amerika Syarikat (NIST), serta audit prestasi instrumen secara berkala,” katanya.
Tambah beliau, data yang direkodkan turut dipantau secara berterusan melalui Pusat Data Kualiti Alam Sekitar bagi mengesan perubahan bacaan serta prestasi peralatan, sekali gus membolehkan tindakan pembetulan diambil sekiranya berlaku gangguan atau ketidaknormalan data.
Menurutnya, bacaan IPU rasmi dikemas kini setiap jam, manakala pengiraan bagi zarah halus PM2.5 dan PM10 menggunakan kepekatan purata bergerak 24 jam.
Dalam pada itu, kerajaan akan terus memperkukuh penyampaian maklumat kepada masyarakat, termasuk penerangan lebih jelas mengenai kaedah pengiraan IPU, perubahan trend kualiti udara dan langkah perlindungan kesihatan yang bersesuaian.
Justeru orang ramai disaran merujuk Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) atau aplikasi MyJAS EQMS bagi mendapatkan bacaan rasmi kualiti udara semasa.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat, hari ini.