
SUBANG, 22 Oktober – Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) menyasarkan sekurang-kurangnya enam pingat emas pada Sukan SEA 2027 Malaysia, dengan kejayaan skuad negara pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 menjadi pencetus keyakinan untuk memburu lebih banyak podium.
- Sasaran MAKAF berpandukan potensi atlet bagi 18 kategori, tertakluk keputusan mesyuarat SEAKF pada 10 November.
- MAKAF mahu karate terus sumbang pingat utama bagi membantu Malaysia kejar gelaran juara keseluruhan sebagai tuan rumah.
- SEAKF Mei nanti di WTC Kuala Lumpur akan digunakan untuk nilai prestasi, pilih atlet terbaik dan biasakan mereka dengan gelanggang pertandingan.
Presidennya, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata sasaran itu berdasarkan potensi atlet negara yang dijangka bertanding dalam 18 kategori, tertakluk kepada keputusan mesyuarat bersama Presiden Persatuan Karate Negara Asia Tenggara (SEAKF) pada 10 November ini.
Beliau berkata, MAKAF mahu memastikan karate terus menjadi antara penyumbang pingat utama kontinjen negara, sekali gus membantu Malaysia memburu gelaran juara keseluruhan temasya dwitahunan itu selaras Malaysia selaku tuan rumah.
“Setakat ini, saya yakin enam pingat emas. Yang selebihnya kita lihat selepas kejohanan SEAKF nanti. Jika pencapaian di sana memberangsangkan, sudah tentu kita akan cuba mendapatkan lebih daripada sasaran,” katanya pada Majlis Penghargaan Skuad Karate Negara di sini pada Rabu.
Pada majlis itu, dua pemenang emas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Shahmalarani Chandran dan Adeola Fay Robert, menerima insentif kereta Proton e.MAS 5 sebagai penghargaan atas kejayaan mereka di Jepun, bulan lalu.
Mengulas lanjut, Datuk Nur Azmi berkata, MAKAF juga akan menggunakan SEAKF yang dijadual berlangsung di Malaysia pada penghujung Mei tahun depan sebagai medan menilai prestasi dan memilih atlet terbaik untuk Sukan SEA.
Katanya, kejohanan itu akan menggunakan venue Sukan SEA di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur bagi membolehkan atlet membiasakan diri dengan gelanggang pertandingan lebih awal.
“Kita sudah mempunyai program pembangunan atlet dan akan menilai prestasi mereka sebelum memuktamadkan skuad ke Sukan SEA.
“Kita mahu memastikan atlet yang dipilih benar-benar mampu menyumbang pingat kepada negara,” tegasnya.