Kerajaan pertimbang akta tangani jerebu rentas sempadan

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Kerajaan tidak menolak kemungkinan menggubal akta khusus bagi menangani pencemaran jerebu rentas sempadan, namun pelaksanaannya memerlukan penelitian mendalam, khususnya dalam aspek pembuktian dan penguatkuasaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cabaran utama mendapatkan bukti mencukupi untuk kenal pasti punca pencemaran dan pihak bertanggungjawab.
  • Perlunya maklumat terperinci termasuk lokasi, koordinat, pemilikan tanah dan pihak menjalankan aktiviti kebakaran.
  • Penggubalan undang-undang bertujuan mencegah pembakaran yang menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan penduduk.
  • Kerjasama serantau: Malaysia dan Indonesia meneliti MoU; inisiatif ASEAN Diplomasi Sains dan Dana Jerebu Mampan dicadangkan.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, cabaran utama ialah mendapatkan bukti mencukupi bagi mengenal pasti punca pencemaran serta pihak yang bertanggungjawab.

Menurut beliau, proses itu memerlukan maklumat terperinci termasuk lokasi dan koordinat kawasan kebakaran, pemilikan tanah serta pihak yang menjalankan aktiviti di kawasan berkenaan.

“Cabaran utama dalam pelaksanaan undang-undang ini ialah mendapatkan bukti yang mencukupi untuk mengenal pasti punca pencemaran dan pihak yang bertanggungjawab.

“Ini termasuk mendapatkan maklumat mengenai lokasi dan koordinat kawasan kebakaran, pemilikan tanah, pihak yang menjalankan aktiviti di kawasan berkenaan serta bukti yang mengaitkan kejadian kebakaran dengan pencemaran jerebu.

“Perkara ini memerlukan penelitian mendalam kerana mendapatkan maklumat sedemikian sememangnya satu cabaran,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, pada persidangan Dewan Rakyat.

Tambahnya, penggubalan undang-undang itu bertujuan mencegah aktiviti pembakaran oleh mana-mana pihak yang boleh menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan penduduk.

Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia dan Indonesia sedang meneliti cadangan memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang alam sekitar dan perubahan iklim.

Kerjasama itu merangkumi usaha mencegah kebakaran hutan dan tanah, perkongsian maklumat serta penyelarasan tindakan awal bagi menangani pencemaran jerebu rentas sempadan.

Malaysia turut mengemukakan dua inisiatif di peringkat ASEAN, iaitu Diplomasi Sains dan Dana Jerebu Mampan, bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam menangani isu berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.