Pensyarah wanita rugi RM269,993 diperdaya sindiket menyamar pegawai NFCC

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob

KUANTAN, 21 Oktober -Seorang pensyarah wanita kerugian RM269,993 selepas diperdaya sindiket yang menyamar sebagai pegawai Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) Putrajaya, melalui panggilan telefon pada 20 April lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek mendakwa maklumat peribadi mangsa disalahgunakan dan mengaitkannya dengan penipuan pelaburan World Coin Trading.
  • Panggilan disambungkan kepada individu menyamar sebagai pegawai polis yang memberitahu mangsa terlibat pengubahan wang haram.
  • Mangsa diugut waran tangkap, pembekuan akaun dan penjara; diarahkan menyerahkan kad ATM serta membuat pembayaran ikat jamin.
  • Mangsa menyerahkan kad ATM, buat lapan pindahan RM43,000; kemudian jumpa tujuh pindahan RM226,993; laporan polis dibuat, disiasat bawah Seksyen 420.

Suspek mendakwa maklumat peribadi mangsa yang berusia 49 tahun itu, telah disalahgunakan dan mangsa terlibat dalam aktiviti penipuan pelaburan World Coin Trading.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, panggilan telefon itu turut disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis dan mangsa dimaklumkan terlibat dalam kes pengubahan wang haram.

Mangsa juga diugut dengan waran tangkap, pembekuan akaun dan hukuman penjara, sebelum diarah menyerahkan kad ATM serta membuat pembayaran untuk ikat jamin.

“Mangsa yang ketakutan telah menyerahkan kad ATM dengan meletakkannya di lokasi ditetapkan suspek dan membuat lapan transaksi pindahan wang berjumlah RM43,000, antara 29 Ogos hingga 13 September.

“Bagaimanapun mangsa menyedari ditipu selepas membuat semakan penyata akaun dan mendapati terdapat tujuh transaksi pindahan wang berjumlah RM226,993, dalam tempoh 28 Jun hingga 8 Ogos lalu” katanya menerusi satu kenyataan.

Mangsa tampil membuat laporan polis dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.