
KAJANG, 20 Oktober – Terengganu mencatat kadar penagihan dan penyalahgunaan dadah serta bahan tertinggi di negara ini, iaitu 735 bagi setiap 100,000 penduduk berdasarkan statistik sehingga Jun 2026.
- Kelantan kedua (694/100,000), Kedah 669, Perlis 646.
- Sebanyak 130,307 kes direkodkan di seluruh negara.
- Faktor geografi dan laluan penyeludupan rentas sempadan dikenalpasti sebagai faktor risiko.
- AADK jalankan 4,253 operasi, menahan 30,157 individu untuk rawatan; tingkatkan pencegahan dan pemerkasaan komuniti.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh, menerusi kenyataan memaklumkan, Kelantan berada di kedudukan kedua dengan kadar 694 bagi setiap 100,000 penduduk, diikuti Kedah sebanyak 669 dan Perlis 646.
Secara keseluruhan, sebanyak 130,307 kes direkodkan di seluruh negara dalam tempoh berkenaan.
“Faktor geografi, termasuk laluan penyeludupan rentas sempadan, dikenal pasti antara faktor risiko yang mempengaruhi masalah dadah di negeri berkenaan,” menurut kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, AADK mempergiat usaha penguatkuasaan, pencegahan dan pemerkasaan masyarakat dengan memberi tumpuan kepada institusi pendidikan, keluarga serta komuniti.
Sehingga 18 Oktober 2026, sebanyak 4,253 operasi penguatkuasaan telah dijalankan di seluruh negara, dengan 30,157 individu ditahan untuk menjalani program rawatan dan pemulihan.
Dalam tempoh sama, sebanyak 242 program pencegahan dan kesedaran awam dilaksanakan dengan penyertaan seramai 16,408 orang.
Sementara itu, purata individu yang tampil secara sukarela untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan meningkat daripada 75 orang sebulan pada 2025 kepada 232 orang sebulan pada tahun ini.
AADK menyifatkan peningkatan itu sebagai perkembangan positif susulan pelaksanaan pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang berkuat kuasa pada 22 Ogos 2025.