
KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Jaguh powerlifting para negara Bonnie Bunyau Gustin menyumbang pingat emas kedua Malaysia pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas menjuarai acara akhir lelaki 72 kilogram (kg) di Pusat Perdagangan dan Industri Bandar Nagoya hari ini.
- Bonnie mempertahankan gelaran juara kategori 72kg yang dimenanginya pada Sukan Para Asia Hangzhou 2022.
- Beliau mencatat angkatan terbaik 225kg selepas angkatan 216kg dan gagal mengangkat 231kg pada percubaan terakhir.
- Juara Paralimpik dua kali, pemegang rekod dunia 232kg, Asia 231kg dan temasya 230kg, serta kemenangan mengubat kekecewaan Glasgow.
Bonnie berjaya mempertahankan gelaran juara kategori 72kg yang dimenanginya pada Sukan Para Asia Hangzhou 2022.
Atlet berusia 27 tahun kelahiran Serian itu memulakan saingan dengan angkatan 216kg sebelum memperbaiki catatan kepada 225kg pada percubaan kedua.
Bagaimanapun, beliau gagal mengangkat bebanan 231kg pada percubaan terakhir, sekali gus menjadikan 225kg sebagai angkatan terbaiknya.
Pingat perak menjadi milik atlet China Zhang Pingkang dengan angkatan terbaik 212kg, manakala atlet Iran Mohsen Bakhtiar meraih gangsa menerusi angkatan 208kg.
Bonnie, juara Paralimpik dua kali, hadir ke final sebagai pemegang rekod dunia 232kg, rekod Asia 231kg dan rekod temasya 230kg.
Kemenangan itu turut mengubat kekecewaannya selepas gagal mempertahankan pingat emas Sukan Komanwel di Glasgow pada Julai lepas, apabila beliau sekadar meraih gangsa dalam acara lightweight lelaki.
Pingat emas pertama Malaysia pada temasya itu dimenangi pelumba berbasikal trek para negara Zuhairie Ahmad Tarmizi semalam menerusi acara ujian masa 1,000 meter lelaki C4-C5. – BERNAMA