
KOTA BHARU, 20 Oktober- Lelaki yang disyaki melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap seekor kucing di Pasir Puteh, Kelantan direman hari ini bagi membantu siasatan.
- Suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan pecah rumah.
- Kucing yang disyaki menjadi mangsa dihantar kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk pemeriksaan kecederaan.
- Polis dengan kerjasama NGO mengambil 10 daripada 11 kucing milik suspek semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan pecah rumah.
“Suspek berusia 49 tahun itu mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan pecah rumah. Dia direman hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.
Menurutnya, kucing yang disyaki menjadi mangsa telah dihantar kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk pemeriksaan bagi menentukan tahap kecederaannya.
Katanya, siasatan mendapati suspek mempunyai 11 ekor kucing, manakala baki 10 ekor kucing telah diambil polis dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) malam tadi.
Datuk Mohd Yusoff berkata suspek berstatus bujang, manakala hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan selepas tangkapan mendapati dia negatif dadah.
Semalam, media melaporkan polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung penularan video berdurasi 56 saat di media sosial yang memaparkan perbuatan tidak senonoh terhadap seekor kucing.