
KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Tiada arahan dikeluarkan untuk menangguhkan siasatan kes Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan anak syarikatnya, FELDA Investment Corporation.
- Kerajaan komited mengambil tindakan untuk mengelakkan salah laku berulang dan memulihkan tadbir urus FELDA.
- Perdana Menteri menegaskan beliau tidak berniat menghalang atau menangguhkan siasatan terbuka.
- Proses siasatan mengambil masa kerana kertas siasatan perlu dirujuk berulang kali kepada Peguam Negara.
- Kerajaan umum pelan pemulihan RM9.9 bilion termasuk RM3.3 bilion penyahsenaraian FGV dan RM5.7 bilion penstrukturan semula pinjaman.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menegaskan kerajaan komited memastikan tindakan diambil bagi mengelakkan salah laku berulang, selain memulihkan tadbir urus agensi berkenaan .
“Jadi saya nak jamin yang pentingnya apakah kita setuju tindakan diambil untuk mengelak daripada kecurangan itu terus berlaku.
“Saya tidak berhasrat dengan kuasa yang ada untuk menangguhkan ataupun mengelak daripada siasatan terus terbuka. Ini berbeza daripada tohmahan di luar,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.
Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan mengakui siasatan mengambil tempoh yang panjang susulan kertas siasatan perlu dirujuk berulang kali ke Peguam Negara untuk penelitian lanjut.
Isu tadbir urus dan kedudukan kewangan FELDA sebelum ini menyaksikan beberapa kes berkaitan penyelewengan dan salah guna kuasa dibawa ke mahkamah.
Beberapa individu telah didakwa dan dijatuhi hukuman, manakala kes lain masih dalam proses perundangan.
Bagi memulihkan kedudukan kewangan FELDA, kerajaan menyediakan pelan pemulihan bernilai RM9.9 bilion, termasuk RM3.3 bilion bagi penyahsenaraian FGV Holdings dan RM5.7 bilion untuk penstrukturan semula pinjaman.