
NEW YORK, 20 Oktober – Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengarahkan semua agensi persekutuan menghentikan penggunaan aplikasi kecerdasan buatan (AI) keluaran syarikat China, DeepSeek, susulan kebimbangan terhadap risiko keselamatan data.
- Jabatan Keselamatan Dalam Negeri arah keluarkan produk DeepSeek dan peralatan berasaskan teknologi itu dari peranti IT agensi kerajaan.
- Model DeepSeek berisiko memindahkan data sensitif kepada China; pelayan terletak di China dan perundangan membolehkan akses kerajaan.
- Arahan hanya terpakai kepada agensi awam, bukan perkhidmatan ketenteraan atau perisikan; isu petanda persaingan AI AS-China.
Arahan dikeluarkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS menerusi notis pada Isnin, yang turut menetapkan semua produk DeepSeek serta peralatan yang dibangunkan pihak ketiga menggunakan teknologi itu perlu dikeluarkan daripada peranti teknologi maklumat agensi kerajaan.
Menurut dokumen yang dilampirkan pada notis berkenaan, model AI DeepSeek mempunyai pelbagai potensi ancaman, termasuk risiko pemindahan data sensitif kepada China sekiranya digunakan oleh kakitangan atau pembekal kerajaan AS.
Jabatan itu turut memberi amaran bahawa pelayan DeepSeek terletak di China, yang menurutnya mempunyai sistem perundangan membolehkan kerajaan mengakses infrastruktur syarikat swasta secara meluas.
Bagaimanapun, arahan berkenaan terpakai kepada agensi awam dan tidak meliputi perkhidmatan ketenteraan atau perisikan.
DeepSeek mencetuskan persaingan sengit dalam industri AI pada Januari 2025 apabila memperkenalkan chatbot berprestasi tinggi pada kos pembangunan yang rendah, sekali gus mencabar dominasi syarikat teknologi AS.
Syarikat itu melancarkan model terbaharunya, V4, pada April lalu sebelum mengemas kini versi yang lebih pantas dan ringan pada bulan ini.
Washington sebelum ini turut menuduh DeepSeek dan beberapa syarikat AI utama China mencuri secara sistematik keupayaan model canggih yang dibangunkan pesaing Amerika.
Di sebalik persaingan itu, AS dan China pada September bersetuju mewujudkan saluran komunikasi bagi menangani insiden berkaitan AI.
Isu berkenaan dijangka kembali menjadi perhatian apabila pemimpin kedua-dua negara bertemu pada sidang kemuncak bulan depan di Shenzhen, China.-AFP