
KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Atlet olahraga para negara, Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi, terlepas pingat emas acara 400 meter lelaki T20 (ketidakupayaan intelektual) pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun apabila sekadar berpuas hati dengan pingat perak hari ini.
- Idris Sufyani (Arab Saudi) menang emas 400m T20 dengan 48.25s, memecah rekod temasya 48.71s.
- Muhammad Ammar Aiman catat 48.34s untuk tamat di tempat kedua pada final 400m T20 di Stadium Mizuho, Nagoya.
- Kontinjen Malaysia raih emas menerusi Zuhairie Ahmad Tarmizi dan gangsa melalui Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin.
Ammar Aiman, 24, yang membuat penampilan kedua pada temasya itu, mencatat masa 48.34 saat untuk menamatkan perlumbaan di tempat kedua dalam acara final di Stadium Olahraga Taman Mizuho, Bandar Nagoya.
Pingat emas menjadi milik atlet Arab Saudi, Idris Sufyani, yang mencatat masa 48.25 saat sekali gus memecahkan rekod temasya miliknya sendiri, iaitu 48.71 saat, yang dilakukan pada saringan kedua pada Isnin.
Atlet Indonesia, Alfin Nomleni, melengkapkan podium apabila meraih pingat gangsa dengan catatan masa 49.18 saat.
Setakat ini, kontinjen Malaysia meraih satu pingat emas menerusi pelumba basikal trek, Zuhairie Ahmad Tarmizi, dalam acara ujian masa 1,000 meter lelaki C4-C5 (ketidakupayaan fizikal).
Malaysia turut memperoleh pingat gangsa menerusi Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin dalam acara kejar-mengejar individu 3,000 meter lelaki C1-C2 (ketidakupayaan fizikal).
Sukan Para Asia Aichi-Nagoya yang bermula Ahad lalu akan berlangsung sehingga 24 Oktober ini.