Iran: Kapal tangki minyak meletup di Selat Hormuz selepas terlanggar periuk api

Foto fail / AFP

TEHRAN, 19 Oktober – Sebuah kapal tangki minyak yang “melanggar peraturan” dilaporkan meletup selepas terlanggar periuk api laut di selatan Selat Hormuz beberapa jam sebelum Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mengumumkan kejadian itu pada awal Isnin, lapor Xinhua.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kapal tangki mematikan GPS dan sistem navigasi, cuba guna laluan tidak dibenarkan.
  • IRGC mengancam tindakan keras terhadap kapal yang mematikan sistem navigasi dan identifikasi semasa melalui Selat Hormuz.
  • Iran memperketat kawalan selat sejak 28 Feb, mengharamkan laluan selamat untuk kapal berkaitan Israel dan Amerika Syarikat.

Dalam kenyataan yang disiarkan menerusi saluran berita rasmi IRGC, Sepah News, tentera laut itu memaklumkan bahawa letupan berkenaan menyebabkan kebakaran di bilik enjin kapal tangki minyak berkenaan.

Menurut IRGC, kapal berkenaan telah mematikan sistem penentu kedudukan global (GPS) dan sistem navigasinya serta cuba keluar dari selat itu tanpa mengendahkan peraturan dengan menggunakan laluan yang “tidak dibenarkan” di bahagian selatan laluan air berkenaan.

Tentera Laut IRGC menegaskan bahawa kapal yang melalui Selat Hormuz dan perairan sekitarnya akan dikenakan tindakan “keras dan tegas” sekiranya mematikan sistem navigasi dan pengenalan masing-masing.

Sepanjang minggu lepas, tentera laut itu melaporkan beberapa kapal tangki minyak yang “melanggar peraturan” meletup selepas terlanggar periuk api laut ketika cuba melalui Selat Hormuz.

Tentera laut itu mendakwa mempunyai kawalan dan penguasaan penuh terhadap perairan timur selat berkenaan, Teluk Oman dan Laut Arab, selain “menyedari risiko pelayaran kapal di kawasan larangan”.

Iran memperketat kawalannya terhadap selat itu pada 28 Feb dengan melarang laluan selamat bagi kapal milik atau yang mempunyai kaitan dengan Israel dan Amerika Syarikat susulan serangan bersama kedua-dua pihak ke atas wilayah Iran.- BERNAMA-XINHUA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.