
KUALA LUMPUR, 18 Oktober – Seni persembahan tradisional Makyung perlu diperkasa sebagai warisan bersama rakyat melalui penganjuran persembahan secara berkala dan pewujudan panggung seni tradisional.
- Persembahan Makyung kini hanya diadakan semasa program khas dan tidak berterusan.
- Pengumuman dibuat selepas sesi penerangan Galeri Koleksi Rosnan Rahman semasa Art Show di Muzium Negara.
- Muzium Negara dan Dataran Merdeka dikenal sebagai lokasi sesuai untuk mempamerkan persembahan tradisional.
- Penerimaan generasi muda semakin positif; mereka berhasrat menyambung, mengembangkan dan menjadikan Makyung warisan negara.
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Rosnan Abdul Rahman berkata, persembahan Makyung perlu berubah bukan sekadar persembahan bermusim sebaliknya kepada persembahan tetap yang boleh disaksikan pada setiap masa.
“Setakat ini, hanya bila ada program saja kita buat persembahan Makyung, tapi harapan saya kita ada satu panggung seni tradisional yang menampilkan bukan sahaja kesenian Makyung, tetapi kesenian tradisional lain seperti Wayang Kulit, Menora, Mek Mulung, Randai, dan banyak lagi kesenian di Malaysia ini yang boleh disatukan di bawah bumbung panggung seni tradisional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi penerangan Galeri Koleksi Rosnan Rahman bersempena penganjuran Art Show: Musik, Seni, Pendidikan dan Uniti 2026 di Muzium Negara disini, hari ini.
Turut hadir dalam program itu adalah Pengarah Program Muzium Muzik Jabatan Muzium Negara, Maisaraf Marman.
Menurutnya, Muzium Negara merupakan antara lokasi yang sesuai untuk persembahan itu, selain Dataran Merdeka yang sudah mempunyai tarikan sejarah dan warisan negara.
Beliau yang juga penggiat utama Makyung berkata, selain memastikan khazanah budaya itu terus diwarisi generasi muda, usaha itu mampu menjadi tarikan pelancong antarabangsa, sekali gus menjana ekonomi negara.
Sementara itu, Maisaraf menyifatkan penerimaan golongan muda terhadap seni Makyung kini semakin positif.
“Kita dapat lihat generasi muda sudah mula ada kesedaran untuk memperkembangkan, menyambung dan menjadikannya sebagai satu warisan negara,” katanya.