Kerajaan teliti risiko teknologi kuantum terhadap data dan perbankan negara

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 18 Oktober – Orang ramai perlu berwaspada terhadap risiko keselamatan siber susulan perkembangan teknologi kuantum yang boleh mengancam keselamatan data peribadi, perbankan dan komunikasi digital.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan meneliti persediaan khususnya keselamatan kunci penyulitan sebagai asas perlindungan data.
  • Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan Majlis Keselamatan Negara mula mempertimbangkan keperluan kesiapsiagaan terhadap impak pada encryption key.
  • Perkembangan Pengkomputeran Pasca-Kuantum disifatkan teknologi masa depan yang perlu diberi perhatian serius.
  • Kerjasama dengan MCMC dan Fakulti Sains Universiti Malaya untuk meneliti kriptografi kuantum dan langkah kesiapsiagaan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kerajaan sedang meneliti persediaan menghadapi risiko tersebut khususnya berkaitan keselamatan kunci penyulitan (encryption key) yang menjadi asas kepada perlindungan data.

“Di pihak kerajaan, Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan Majlis Keselamatan Negara, kita mula memikirkan keperluan untuk bersiap sedia kerana semua encryption key yang menjadi asas kepada perbankan dan keselamatan siber kita akan sangat terkesan sekiranya kita tidak bersedia,” katanya ketika berucap di perasmian Pesta Komuniti Sains 2026 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, perkembangan teknologi perlu diberi perhatian agar tidak memberi ruang kepada pihak yang tidak bertanggungjawab menceroboh komunikasi digital negara.

“Dalam dunia kita sekarang, kita bukan sekadar bercakap tentang kecerdasan buatan, tetapi juga satu teknologi yang bakal muncul, iaitu Pengkomputeran Pasca-Kuantum (Post-Quantum Computing),” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Fakulti Sains Universiti Malaya (UM) bagi meneliti aspek kriptografi kuantum (quantum cryptography) dan persediaan menghadapi perkembangan teknologi berkenaan.

Pasca-Kuantum merupakan sistem keselamatan siber yang direka khas untuk melindungi data, sistem, dan rangkaian daripada ancaman serangan komputer kuantum masa depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.