Pengasas Parti Cockroach Janata India dibebaskan daripada tahanan

Foto AFP

NEW DELHI, 18 Oktober – Pengasas gerakan politik anak muda India, Parti Cockroach Janata (CJP), Abhijeet Dipke, dibebaskan daripada tahanan pada Sabtu, sehari selepas ditahan ketika protes terhadap badan pilihan raya negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dipke, 31, ditahan Jumaat ketika dalam perjalanan ke perhimpunan CJP di Connaught Place.
  • Parti pembangkang dan aktivis meneruskan protes menuntut Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya meletak jawatan atas dakwaan manipulasi daftar pemilih; suruhanjaya menafikan salah laku.
  • Dua pemimpin kanan CJP, Ashutosh Ranka dan Saurav Das, ditahan sejak 14 Oktober; Dipke menyeru agar saudara-saudara dibebaskan.

Dipke, 31, ditahan pada Jumaat disini ketika dalam perjalanan untuk menyertai perhimpunan yang dianjurkan gerakan CJP di kawasan Connaught Place, pusat ibu negara itu.

Beliau dilihat meninggalkan balai polis pada petang Sabtu sambil melambai ke arah media dan mengangkat ibu jari ketika menaiki kenderaan, menurut jurugambar AFP.

“Abhijeet Dipke dibebaskan,” kata Ketua Hal Ehwal Perundangan CJP, Ratna Singh, menerusi media sosial.

Parti pembangkang dan aktivis CJP terus mengadakan perhimpunan meskipun berdepan tindakan keselamatan, bagi mendesak Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya India meletak jawatan susulan dakwaan badan pilihan raya memanipulasi daftar pemilih untuk menguntungkan parti pemerintah pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi.

Suruhanjaya berkenaan, yang menyelia proses pengundian di negara paling ramai penduduk di dunia itu, menafikan sebarang salah laku.

Dua lagi pemimpin kanan CJP, Ashutosh Ranka dan Saurav Das, ditahan pada 14 Oktober selepas memasuki Jantar Mantar, lokasi demonstrasi yang telah lama digunakan tetapi diisytiharkan polis sebagai kawasan larangan untuk perhimpunan.

“Kedua-duanya masih dalam tahanan.

“Sekarang hanya menunggu saudara-saudara saya dibebaskan,” kata Dipke menerusi hantaran di X yang turut memaparkan gambar Ranka dan Das.

Dalam hantaran berasingan di Instagram, Dipke berkata beliau sedar bahawa penjara merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan bersedia menghadapi apa sahaja yang bakal berlaku.

“Sejak hari saya membuat keputusan untuk kembali ke India, saya menyerahkan nasib saya kepada rakyat India dan Perlembagaan negara ini,” katanya.

Anggota Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Modi yang berhaluan nasionalis Hindu sekian lama mendakwa sejumlah besar pendatang Islam dari Bangladesh memasuki daftar pemilih India secara tidak sah menggunakan dokumen palsu.

Bagaimanapun, kumpulan hak asasi manusia dan pengkritik kerajaan mendakwa pentadbiran Modi telah menghakis kebebasan demokrasi sepanjang lebih sedekad berkuasa, termasuk menerusi tekanan terhadap wartawan, pertubuhan masyarakat sivil dan pihak lawan politik.

Sementara itu,kerajaan India menolak dakwaan berkenaan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.