Perancis-Jerman sepakat lindungi automotif Eropah

Foto AFP

BRUSSELS, 16 Oktober – Perancis dan Jerman mencapai kesepakatan untuk memulihkan industri automotif Eropah menerusi pelonggaran peraturan pelepasan karbon kenderaan serta langkah memperkukuh pengeluaran komponen di rantau itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kompromi pada takrif 'Buatan Eropah': penyertaan terpilih Britain dan Norway tertakluk syarat, menegaskan keutamaan negara anggota EU.
  • Macron: Kesepakatan mencerminkan komitmen transformasi industri tanpa mengetepikan sasaran iklim dan kepentingan pengeluaran Eropah.
  • Reaksi bercampur: Persatuan pembekal alu menyokong; T&E mengkritik perlahan peralihan ke kenderaan elektrik; perjanjian masih perlu kelulusan EU.

Pakar dasar kedua-dua negara bersetuju bahawa perjanjian berkenaan akan menjadi asas kepada hala tuju dasar Kesatuan Eropah (EU), termasuk melonggarkan lagi peraturan pelepasan karbon dioksida (CO2) dan membolehkan Britain menyertai skim perolehan awam bagi menyokong industri automotif Eropah.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, berkata kesepakatan itu mencerminkan komitmen untuk mentransformasikan industri automotif tanpa mengetepikan sasaran iklim dan kepentingan pengeluaran di Eropah.

Canselor Jerman, Friedrich Merz, pula menyifatkan perjanjian itu sebagai perkembangan positif kepada pengguna kenderaan dan peluang pekerjaan di Jerman, Perancis serta Eropah.

Kedua-dua negara sebelum ini berbeza pendirian mengenai pendekatan terbaik untuk memulihkan sektor automotif yang menyumbang kira-kira 13 juta pekerjaan dan tujuh peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) EU.

Jerman mahukan sasaran pelepasan karbon yang lebih fleksibel untuk pengeluar kenderaan, selain takrifan lebih luas bagi syarat “Buatan Eropah” yang merangkumi rakan dagang utama di luar EU.

Sebaliknya, Perancis mahu EU mengekalkan sasaran iklimnya serta mengehadkan skim perolehan awam berkenaan kepada negara anggota blok itu.

Dalam kesepakatan terbaharu, Jerman memperoleh kelonggaran berkaitan sasaran pelepasan karbon, manakala Perancis berjaya memastikan takrifan “Buatan Eropah” lebih terhad kepada negara anggota EU, dengan penyertaan terpilih negara lain termasuk Britain dan Norway tertakluk pada syarat tertentu.

Perjanjian itu turut memudahkan pengeluar kenderaan memenuhi cadangan sasaran EU untuk mengurangkan pelepasan ekzos kenderaan baharu sebanyak 90 peratus menjelang 2035 berbanding paras 2021.

Persatuan Pembekal Automotif Eropah menyambut baik kesepakatan itu sebagai kompromi penting yang mengambil kira kebimbangan industri.

Bagaimanapun, kumpulan advokasi pengangkutan bersih, T&E, mengkritik perjanjian itu dan menyifatkannya sebagai satu kesilapan besar.

Pengarah Kanan T&E, Anna Krajinska, berkata langkah memperlahankan peralihan kepada kenderaan elektrik bukan pendekatan sesuai ketika pengguna berdepan harga bahan api yang tinggi dan industri automotif Eropah menerima tekanan daripada pengeluar China.

Perjanjian itu masih memerlukan sokongan negara anggota EU lain dan Parlimen Eropah sebelum dapat dikuatkuasakan sebagai undang-undang.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.