
PUTRAJAYA, 16 Oktober – Kerajaan akan mempertingkat penyelarasan antara kementerian bagi menangani isu jerebu yang terus memberi kesan kepada rakyat, termasuk berkaitan aktiviti sukan luar bangunan serta pembukaan sekolah dan tempat pembelajaran.
- Perdana Menteri akan mempengerusikan mesyuarat Isnin untuk membincangkan isu jerebu bersama KKM, KPM dan KBS.
- Semakan silang mendapati kebakaran kebanyakan berlaku di luar kawasan konsesi perladangan syarikat Malaysia.
- MPOB akan meneruskan sesi libat urus dengan syarikat perladangan; bantuan kepada Indonesia masih dalam penyelarasan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat susulan makluman daripada Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pendidikan (KPM) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Beliau berkata, KPM dan KKM memaklumkan bahawa garis panduan sedia ada bagi menangani jerebu adalah berlandaskan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempengerusikan satu mesyuarat pada Isnin ini bagi membincangkan isu jerebu. Maklumat lanjut akan diperoleh daripada KKM, KPM dan KBS susulan mesyuarat itu,” katanya pada sidang media mingguan pasca mesyuarat Jemaah Menteri, di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Fahmi berkata, semakan silang dengan syarikat Malaysia yang memiliki konsesi perladangan sawit di Indonesia mendapati kebanyakan kebakaran yang dilaporkan berlaku di luar kawasan konsesi milik syarikat Malaysia.
“Terdapat satu ladang milik Genting Plantations seluas lima hektar terjejas apabila api merebak dari kawasan luar sebelum berjaya dipadamkan.
“Api bukan bermula dari dalam ladang, sebaliknya merebak dari luar dan telah berjaya dipadamkan,” katanya.
Datuk Seri Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan meneruskan sesi libat urus khas dengan syarikat perladangan Malaysia yang beroperasi di Indonesia.
Mengulas kemungkinan Malaysia menyalurkan bantuan kepada Indonesia, beliau berkata, perkara itu telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri, namun penyelarasan lanjut masih diperlukan bagi memastikan bantuan yang diberikan bersesuaian dan berkesan.
“Setakat ini belum ada maklumat terperinci mengenai aset yang bakal dihantar, manakala perbincangan susulan masih berlangsung,” jelas beliau.