
ZURICH, 16 Oktober – Kejohanan Piala Asia yang dijadual berlangsung pada Januari depan di Arab Saudi berkemungkinan ditunda selama setahun ke 2028 sekiranya keadaan memerlukan, susulan beberapa siri serangan kumpulan Houthi ke atas negara itu.
- Presiden AFC berkata keputusan tidak tergesa-gesa; pihaknya boleh menunggu sehingga akhir November sebelum membuat keputusan.
- Perlawanan melibatkan Al Nassr tertangguh selepas pakatan tentera Saudi memintas peluru berpandu yang dilancarkan ke arah Riyadh.
- KPFA menyuarakan kebimbangan serius; presiden Lee Keun-ho tekankan keselamatan pemain lebih penting daripada kejohanan.
Bagaimanapun, Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Sheikh Salman bin Ebrahim al-Khalifa, berkata pihaknya tidak tergesa-gesa membuat keputusan berhubung kejohanan bola sepak terbesar Asia itu.
Piala Asia 2027 dijadual membuka tirai pada 7 Januari di tiga bandar di Arab Saudi, iaitu Jeddah, Riyadh dan Al Khobar.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, Arab Saudi berdepan serangan berterusan susulan peningkatan ketegangan konflik dengan kumpulan Houthi yang disokong Iran.
“Kita boleh menunggu sehingga akhir November,” kata Sheikh Salman kepada pemberita di Zurich pada Rabu, ketika ditanya mengenai keputusan berhubung penganjuran Piala Asia.
“Keadaan di rantau itu boleh berubah dengan pantas, sama ada menjadi lebih baik atau buruk. Kita perlu melihat perkembangan seterusnya,” katanya.
Beliau berkata, AFC akan membuat keputusan sekiranya perlu, termasuk menunda kejohanan itu selama setahun ke 2028.
“Buat masa ini, kita sedang memantau keadaan dan segala-galanya masih mengikut jadual,” katanya.
Sementara itu, perlawanan Liga Juara-Juara Asia membabitkan kelab Al Nassr yang dibarisi Cristiano Ronaldo pada Isnin tertangguh selama sejam selepas pakatan tentera pimpinan Arab Saudi memaklumkan pihaknya memintas peluru berpandu yang dilancarkan ke arah Riyadh.
Tiga perlawanan bola sepak domestik Arab Saudi, termasuk satu membabitkan Al Nassr, turut ditangguhkan minggu ini.
Kejohanan tenis jemputan Six Kings Slam yang dijadual menampilkan Novak Djokovic, Carlos Alcaraz dan Alexander Zverev juga ditunda ke penghujung Disember.
Australia, antara 24 pasukan yang bakal beraksi pada Piala Asia 2027, berkata minggu ini bahawa pihaknya sedang memantau rapat situasi keselamatan di Arab Saudi.
Dalam perkembangan berkaitan, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Korea Selatan (KPFA) pada Khamis menyuarakan kebimbangan serius terhadap keselamatan semua pemain yang bakal menyertai kejohanan itu.
Presidennya, Lee Keun-ho, berkata ketegangan ketenteraan dan ketidakstabilan keselamatan yang berterusan di Asia Barat tidak boleh dipandang ringan, menurut Agensi Berita Yonhap.
Beliau menegaskan bahawa nilai sesebuah kejohanan tidak boleh mengatasi kepentingan nyawa dan keselamatan pemain serta peminat bola sepak. – AFP