
KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan sekurang-kurangnya 10,000 usahawan dilatih menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam pembangunan perniagaan mereka tahun depan.
- Penekanan penguasaan asas perniagaan termasuk memahami pasaran, produk dan keperluan operasi sebelum memulakan perniagaan.
- Bakal usahawan mesti membuat perancangan kewangan dan pemasaran teliti agar modal digunakan berhemah dan risiko kerugian dikurangkan.
- INSKEN akan ke seluruh negara melatih usahawan menerapkan AI dalam membina dan mengembangkan perniagaan mereka.
- Memperkenalkan pendekatan 5P: Problem, Proposition, Process, Purse dan Promotion sebagai panduan asas sebelum memulakan perniagaan.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, usaha memperkukuh keupayaan usahawan perlu bermula dengan penguasaan asas perniagaan, termasuk memahami pasaran, produk serta keperluan operasi sebelum sesuatu perniagaan dimulakan.
Beliau berkata, bakal usahawan juga perlu membuat perancangan kewangan dan pemasaran yang teliti bagi memastikan modal digunakan secara berhemah serta mengurangkan risiko kerugian.
“Tahun depan, INSKEN, kalau tiada aral melintang, akan pergi ke seluruh negara untuk melatih sekurang-kurangnya 10,000 usahawan menerapkan AI dalam membina perniagaan mereka.
“Apabila sudah mempunyai ilmu, modal dan bersedia untuk memulakan perniagaan, kerajaan dan KUSKOP menyediakan pelbagai bentuk dana, geran serta pembiayaan bagi membantu rakyat Malaysia membina perniagaan,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Majlis Penutup Program Jaguh Keusahawanan Nasional Fasa 2 di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), di ibu negara hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha (KSU) KUSKOP Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) merangkap Pengarah Urusan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) Datuk Mohd Ali Mansor.
Mengulas persediaan sebelum menceburi bidang perniagaan, beliau mengingatkan golongan muda supaya memahami selok-belok perniagaan terlebih dahulu bagi mengurangkan risiko kegagalan serta memastikan modal digunakan secara lebih berhemah.
Sehubungan itu, beliau memperkenalkan pendekatan 5P sebagai panduan asas, meliputi ‘Problem, Proposition, Process, Purse dan Promotion’ sebelum seseorang memulakan sesuatu perniagaan.
Pendekatan itu merangkumi usaha mengenal pasti masalah, menentukan tawaran produk, merancang operasi, menilai kemampuan kewangan serta menyusun strategi pemasaran mengikut keperluan perniagaan.
Program Jaguh Keusahawanan Nasional Fasa 2 anjuran KUSKOP dengan kerjasama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) menghimpunkan penyertaan daripada institusi pendidikan tinggi serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Pertandingan itu melibatkan kategori Terbuka dan TVET, masing-masing dibahagikan kepada tiga sektor utama iaitu Pertumbuhan Tinggi dan Bernilai Tinggi (HGHV), Ekonomi Jingga serta Ekonomi Biru.
Bagi kategori Terbuka – HGHV, tempat pertama dimenangi Nano-Biofertilizer dari Universiti Malaysia Kelantan (Jeli), diikuti Eco Opfl Board dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), serta Mori Savor dari Universiti Malaysia Sarawak.
Kategori Terbuka – Ekonomi Jingga menyaksikan Islamic AI dari Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) di tempat pertama, Tekocay dari Universiti Utara Malaysia (UUM) kedua dan Generative Art dari UiTM Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Advance Management & Computing UC (AMC UC) ketiga.
Bagi Terbuka – Ekonomi Biru, tempat pertama dimenangi ROT2RISH dari Universiti Malaysia Kelantan (Jeli), kedua Ikandoit dari Universiti Putra Malaysia, manakala tempat ketiga turut disenaraikan sebagai ROT2RISH dari institusi sama.
Sementara itu, TVET – HGHV menyaksikan MyVoice Communication Apps dari Kolej Komuniti Kuala Pilah muncul juara, diikuti IBS Smart Wiring Brick dari Politeknik Kuching dan Automatic Flood Warning System dari ADTEC JTM Kampus Shah Alam.
Bagi TVET – Ekonomi Jingga, Lanyard Songket & Batik dari Kolej Komuniti Kulim meraih tempat pertama, diikuti Pasar Karat Digital Heritage dari Kolej Komuniti Selayang dan Keratin Spray dari GIATMARA Kuantan.
Kategori terakhir, TVET – Ekonomi Biru, dimenangi BoatFinder: Temui Boat, Mulakan Pengembaraan dari Kolej Komuniti Kota Tinggi, diikuti Happy Bites dari Politeknik Merlimau dan SeaLink Services dari Kolej Komuniti Kuala Langat Cawangan Sepang.