
PUTRAJAYA, 14 Oktober – Malaysia dan Indonesia telah memulakan perbincangan rasmi bagi merangka kaedah kerjasama menangani krisis jerebu dan kebakaran hutan di Kalimantan serta Sumatera yang kini berlarutan hampir dua bulan, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
- Perbincangan dua hala digerakkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar, NADMA, MKN dan pihak berkuasa Indonesia untuk mencari penyelesaian tuntas.
- Penghantaran pesawat dan helikopter ditangguhkan bukan kerana penolakan Indonesia tetapi kekangan teknikal dan jarak penglihatan sangat terhad.
- Operasi kini tertumpu di darat melibatkan lebih 60,000 anggota kerana kebakaran tanah gambut luas memerlukan hujan lebat berterusan untuk padam.
Beliau berkata, perbincangan dua hala itu digerakkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pihak berkuasa Indonesia bagi mencari penyelesaian bersama secara tuntas.
“Kedua-dua belah pihak memulakan perbincangan bagaimana kita dapat bekerjasama mengatasi isu kebakaran hutan dan jerebu yang nampaknya semakin lama semakin teruk dan tidak berkesudahan.
“Jika tahun-tahun lalu ia hanya seminggu, kali ini sudah berlarutan sebulan lebih menghampiri dua bulan hingga mengancam kesihatan penduduk di Malaysia, Singapura dan Indonesia sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek Pemasangan Sistem Fotovolta Suria Tersambung Grid di Bangunan-Bangunan Kerajaan yang disempurnakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di Wisma Putra, hari ini.
Mengulas mengenai bantuan pemadaman dari udara, Datuk Seri Mohamad menjelaskan penangguhan penghantaran pesawat dan helikopter pemadam api dari Malaysia bukan disebabkan oleh penolakan pihak Indonesia, sebaliknya berpunca daripada kekangan teknikal dan jarak penglihatan yang amat terhad di zon kebakaran.
Katanya, beliau telah mengadakan perbualan telefon bersama rakan sejawatnya dari Indonesia, Arrmanatha Nasir bagi menyusuli kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai persetujuan Presiden Prabowo Subianto yang membenarkan penghantaran aset bantuan Malaysia.
“Kita sudah bersedia untuk mengatur gerak tiga helikopter dan sebuah pesawat pengebom air (Bombardier). Namun pihak Indonesia memaklumkan keadaan asap di kawasan kebakaran amat tebal dan berbahaya (very poor visibility), menyebabkan operasi penerbangan tidak dapat dilaksanakan.
“Pihak Indonesia sendiri mempunyai puluhan helikopter dan pesawat sayap kaku (fixed-wing), tetapi mereka juga tidak boleh membuat penerbangan memadam api. Malah, pasukan bantuan dari Jepun yang sudah tiba di sana terpaksa berpatah balik atas faktor yang sama,” jelasnya.
Tambahnya, operasi pemadaman di Indonesia kini tertumpu sepenuhnya di darat dengan kekuatan lebih 60,000 anggota berikutan kebakaran membabitkan kawasan tanah gambut yang luas dan jauh di pedalaman, yang secara praktikalnya memerlukan hujan lebat berterusan selama beberapa hari untuk padam sepenuhnya.