
KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Sarawak mempunyai 500 kekosongan guru melibatkan 224 jawatan di sekolah menengah dan 276 di sekolah rendah, menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh di Dewan Rakyat hari ini.
- 3,537 daripada 4,417 calon guru simpanan 2025 telah ditawarkan pelantikan tetap, termasuk 114 anak Sarawak.
- Kekosongan melibatkan opsyen sekolah menengah Reka Bentuk dan Teknologi serta Sains; sekolah rendah Matematik, Muzik dan guru bimbingan dan kaunseling.
- SPP jalankan temu duga pengambilan guru 2026 melalui pasaran terbuka; KPM mohon lanjutan sah calon dan semak semula senarai serta kelayakan.
Beliau berkata seramai 3,537 daripada 4,417 calon guru simpanan bagi pengambilan 2025 telah ditawarkan pelantikan tetap termasuk 114 anak Sarawak.
Jelasnya, pada September lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) memohon kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk melantik 317 calon guru simpanan daripada baki sedia ada bagi pelbagai opsyen.
“Ketika ini, terdapat 224 kekosongan guru di sekolah menengah dan 276 di sekolah rendah di Sarawak. Kekosongan di sekolah menengah melibatkan beberapa opsyen, antaranya Reka Bentuk dan Teknologi serta Sains.
“Bagi sekolah rendah pula, kekosongan melibatkan opsyen Matematik, Muzik serta guru bimbingan dan kaunseling, dengan opsyen terakhir mencatatkan kekosongan lebih tinggi berbanding opsyen lain,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi yang meminta KPM menyatakan jumlah calon guru simpanan dalam kalangan anak Sarawak yang masih menunggu tawaran pelantikan serta jumlah kekosongan guru di negeri itu.
Bagi mengisi kekosongan berkenaan, Wong berkata SPP sedang menjalankan temu duga pengambilan guru 2026 menerusi pasaran terbuka, yang bermula pada Mei lalu dan dijangka selesai bulan depan.
KPM turut memohon pertimbangan SPP berhubung lanjutan tempoh sah calon guru simpanan atau pelantikan mereka.
Selain itu, kementerian meneliti semula senarai calon guru simpanan, khususnya bagi opsyen mata pelajaran yang mencatatkan lebihan guru di peringkat sekolah, serta menyemak kelayakan berdasarkan ijazah asal calon.