
SOFIA, 13 Oktober – Dua buah kapal komersial dilaporkan diserang di kawasan perairan pantai Bulgaria, dengan salah sebuah daripadanya menjadi sasaran serangan dron.
- Rumen Radev berkata kapal kargo Ukraine dihentam oleh tiga dron udara.
- Radev akan memanggil Duta Besar Rusia berhubung siri serangan yang disifatkan tidak boleh diterima.
- Kapal pertama dikenal pasti sebagai Chelsea 3, berdaftar di bawah bendera Malta; kesemua 15 anak kapal berjaya diselamatkan.
- Kapal kedua diserang dan tenggelam; seorang kru diselamatkan; Menteri Luar Ukraine menuduh Rusia bertanggungjawab.
Perdana Menteri Rumen Radev dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, sebuah kapal kargo milik Ukraine telah dihentam oleh tiga dron udara, sebelum sebuah lagi kapal diserang dan tenggelam tidak lama kemudian.
Beliau akan memanggil Duta Besar Rusia berhubung siri serangan yang disifatkan sebagai tidak boleh diterima itu.
“Kami belum mempunyai bukti kukuh dan jelas untuk menuduh mana-mana pihak secara khusus. Bagaimanapun logik menunjukkan keputusan insiden ini memberi kelebihan kepada Persekutuan Rusia,” kata Radev.
Radev mengenalpasti kapal kargo pertama sebagai Chelsea 3 yang berdaftar di bawah bendera Malta.
Kesemua 15 ahli anak kapal iaitu tujuh warga Ukraine dan lapan warga Azerbaijan dilaporkan berjaya diselamatkan.
Beliau menambah kapal kedua turut diserang dan seorang ahli anak kapalnya telah diselamatkan, namun tiada butiran lanjut diberikan berhubung kapal berkenaan.
Dalam pada itu, Menteri Luar Ukraine, Andriy Sybiga menuduh Rusia bertanggungjawab atas serangan tersebut dan mengecam tindakan Moscow yang didakwanya sengaja mengabaikan keselamatan nyawa orang awam serta keselamatan maritim di Laut Hitam.- AFP