Insentif penuaian RM100 sehektar beri kelegaan kepada pesawah

Foto RTM

ALOR SETAR, 13 Oktober – Pesawah di Kawasan Muda menyambut baik Belanjawan MADANI 2027 yang mengekalkan Insentif Pembajakan pada kadar RM300 sehektar semusim, selain menaikkan Insentif Penuaian Padi daripada RM50 kepada RM100 sehektar semusim.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenaikan insentif penuaian beri kelegaan kepada pesawah, meringankan beban kos pengeluaran akibat kenaikan kos operasi pertanian.
  • Jawatankuasa PPK MADA rakam penghargaan kepada kerajaan atas komitmen memperkasa kebajikan pesawah dan menjamin keterjaminan bekalan beras negara.
  • Bantuan termasuk pembekalan baja foliar serta projek naik taraf pengairan dan pemulihan empangan untuk meningkatkan produktiviti dan kelestarian padi.

Jawatankuasa Penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menerusi kenyataan hari ini berkata langkah itu mampu meringankan beban kos pengeluaran pesawah yang berdepan peningkatan kos operasi pertanian.

Jawatankuasa itu turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas komitmen berterusan dalam memperkasa kebajikan pesawah serta menjamin keterjaminan bekalan beras negara.

Menurut kenyataan itu, peruntukan bantuan keseluruhan berjumlah RM2.62 bilion kepada pesawah, selain RM20 juta bagi pembekalan baja foliar, dijangka membantu meningkatkan produktiviti dan kelestarian sektor penanaman padi.

Bantuan baja foliar berkenaan bertujuan memulihkan serta menyuburkan tanah sawah bagi menyokong pengeluaran padi dalam jangka panjang.

Dalam pada itu, pelaksanaan projek menaik taraf sistem pengairan dan kerja pemulihan Empangan Pedu turut diberi penekanan bagi memastikan bekalan air untuk aktiviti penanaman padi di Kawasan Muda terus terjamin.

Sehubungan itu, jawatankuasa berkenaan berharap semua inisiatif yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 dapat dilaksanakan dengan berkesan dan disalurkan secara langsung kepada golongan sasar.

Sebagai tanda sokongan terhadap usaha kerajaan, pesawah di Kawasan Muda turut berikrar untuk terus komited mengusahakan tanaman padi secara optimum bagi menyumbang kepada kestabilan dan keterjaminan makanan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.