
SAUDARA PENGARANG
- Pendaftaran automatik KWSP sebagai langkah permulaan membentuk budaya menyimpan sejak awal dewasa.
- Keahlian tidak menjamin simpanan, perlu pendapatan, caruman berterusan, disiplin kewangan dan pemahaman tujuan simpanan.
- Pendidikan kewangan awal dan maklumat disesuaikan untuk pekerja formal, gig dan sendiri penting membina tabiat menyimpan.
- Keberkesanan diukur melalui hasil nyata seperti kefahaman, kesinambungan caruman dan perkembangan simpanan, bukan bilangan akaun semata.
Apabila seseorang melangkah ke usia 18 tahun, kehidupannya mula memasuki fasa baharu. Ada yang melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi, memulakan pekerjaan, menjalani latihan kemahiran atau membantu keluarga menjana pendapatan.
Dalam tempoh ini, mereka juga mula berhadapan dengan pelbagai keputusan penting yang boleh mempengaruhi perjalanan hidup masa depan, termasuk keputusan berkaitan mengurus perbelanjaan, membuat komitmen hutang dan membina simpanan untuk jangka panjang.
Dalam Belanjawan 2027, kerajaan mengumumkan inisiatif pendaftaran automatik setiap warganegara Malaysia sebagai ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) apabila mencapai usia 18 tahun.
Langkah ini membawa mesej bahawa persediaan menghadapi hari tua tidak sepatutnya bermula hanya apabila seseorang sudah mempunyai pekerjaan tetap, berkeluarga atau menghampiri usia persaraan.
Sebaliknya, kesedaran tentang kepentingan menyimpan perlu dibentuk sejak usia muda, ketika tabiat kewangan dan cara membuat keputusan masih boleh dipupuk.
Namun, pendaftaran automatik tidak menjaminan seseorang akan mempunyai simpanan yang mencukupi. Akaun boleh dibuka, tetapi simpanan memerlukan pendapatan, caruman yang berterusan, disiplin kewangan dan pemahaman tentang tujuan wang itu disimpan.
Oleh itu, kepentingan inisiatif Belanjawan 2027 ini perlu dilihat lebih luas daripada sekadar menambah bilangan ahli KWSP.
Dalam realiti kehidupan hari ini, golongan muda berhadapan dengan pelbagai tuntutan kewangan, daripada kos sara hidup dan komitmen keluarga hinggalah kemudahan kredit yang semakin mudah diakses.
Pada masa yang sama, masyarakat semakin memerlukan perancangan persaraan yang lebih kukuh apabila jangka hayat meningkat dan keperluan kewangan selepas berhenti bekerja berterusan untuk tempoh yang panjang.
Persoalan yang wajar diberikan perhatian ialah sama ada pendaftaran automatik ini mampu menjadi permulaan kepada perubahan budaya kewangan,.
Ini supaya generasi muda bukan sahaja mempunyai akaun simpanan persaraan, tetapi juga tahu mengurus wang, mengelakkan hutang yang tidak terkawal dan membina kehidupan yang lebih sejahtera.
Daripada Pendaftaran Kepada Simpanan Sebenar
KWSP berfungsi sebagai institusi simpanan persaraan yang mengurus caruman ahli dan majikan serta melaburkannya untuk membantu ahli menyediakan sumber kewangan selepas bersara. Bagi pekerja yang layak dalam sektor formal, caruman dibuat melalui pekerjaan.
Sebahagian pendapatan diperuntukkan kepada simpanan sebelum digunakan untuk perbelanjaan lain, manakala caruman majikan turut membantu menambah simpanan persaraan.
Sistem ini penting kerana keperluan kewangan seseorang tidak berakhir apabila dia berhenti bekerja. Perbelanjaan makanan, tempat tinggal, pengangkutan dan penjagaan kesihatan tetap perlu ditanggung ketika pendapatan daripada pekerjaan mungkin sudah berkurangan atau terhenti.
Oleh itu, simpanan persaraan boleh membantu menampung keperluan tersebut.
Sebelum pengumuman Belanjawan 2027, pendaftaran automatik keahlian KWSP lazimnya berkait rapat dengan penyertaan dalam pekerjaan yang menerima caruman.
Individu yang memasuki alam pekerjaan formal akan didaftarkan melalui proses berkaitan caruman majikan, manakala mereka yang belum bekerja boleh mendaftar sendiri melalui saluran yang disediakan.
Keadaan ini bermakna hubungan seseorang dengan sistem simpanan persaraan mungkin bermula apabila dia sudah memasuki pasaran pekerjaan.
Perubahan ini membuka ruang untuk Pendidikan persaraan diperkenalkan pada peringkat awal kehidupan.
Golongan muda boleh didedahkan kepada fungsi KWSP, kepentingan caruman dan manfaat simpanan jangka masa Panjang sebelum mereka berhadapan dengan komitmen kewangan yang lebih besar.
Bagaimanapun, keahlian tidak sama dengan simpanan. Seseorang yang belum bekerja atau tidak mempunyai pendapatan yang membolehkan caruman dibuat tidak akan membina baki simpanan yang bermakna hanya melalui pendaftaran.
Oleh itu, penerangan yang jelas tentang bagaimana caruman dibuat, bagaimana simpanan berkembang dan apakah langkah yang boleh diambil oleh individu bekerja sendiri atau mempunyai pendapatan tidak tetap amat penting.
Matlamat akhirnya bukan sekadar memastikan setiap anak muda mempunyai akaun, tetapi membantu mereka memahami fungsi akaun itu dan membina tabiat menyimpan apabila keadaan kewangan mengizinkan.
Pendaftaran boleh dijadikan langkah pertama, tetapi pengetahuan dan amalan kewangan yang berterusan diperlukan untuk menjadikan langkah itu bermakna.
Hutang Menunjukkan Pentingnya Daya Tahan Kewangan
Kepentingan membina tabiat kewangan sejak muda dapat dilihat melalui isu hutang. Statistik Jabatan Insolvensi Malaysia bagi tempoh 2022 hingga Julai 2026 merekodkan sebanyak 27,559 kes kebankrapan.
Daripada jumlah tersebut, 12,286 kes atau 44.58 peratus dikategorikan sebagai kebankrapan berkaitan pinjaman peribadi.
Dalam tempoh yang sama, 3,979 kes melibatkan individu berusia antara 20 hingga 34 tahun. Daripada jumlah itu, 75 kes melibatkan mereka yang berumur 20 hingga 24 tahun, manakala 3,904 kes melibatkan kumpulan berumur 25 hingga 34 tahun.
Angka-angka ini tidak menggambarkan keseluruhan jumlah hutang yang ditanggung oleh golongan muda, dan bukan semua individu yang berhutang akan menjadi bankrap.
Namun, data ini menunjukkan bahawa masalah kewangan boleh mencapai tahap serius dalam kalangan individu yang masih berada pada peringkat awal membina kerjaya, keluarga dan kehidupan sendiri.
Hutang tidak semestinya sesuatu yang buruk. Pinjaman perumahan boleh membantu seseorang memiliki kediaman, manakala pembiayaan pendidikan boleh membuka peluang meningkatkan kemahiran dan pendapatan.
Masalah timbul apabila jumlah pinjaman tidak sepadan dengan kemampuan membayar, komitmen bulanan terlalu tinggi atau pinjaman baharu digunakan untuk menampung hutang lama.
Bagi golongan muda yang baru bekerja, tekanan kewangan boleh bermula sebaik sahaja menerima gaji pertama. Mereka perlu menanggung kos pengangkutan, sewa rumah, makanan, bil komunikasi dan keperluan harian.
Ada juga yang membantu ibu bapa, membayar ansuran kenderaan atau menyumbang kepada perbelanjaan adik-beradik.
Apabila sebahagian besar pendapatan digunakan untuk komitmen tersebut, ruang untuk menyimpan menjadi semakin kecil.
Jika berlaku kecemasan seperti kehilangan pekerjaan, masalah kesihatan atau kerosakan kenderaan, individu yang tidak mempunyai simpanan mungkin terpaksa menggunakan kad kredit atau mengambil pinjaman baharu.
Di sinilah kitaran hutang boleh bermula. Pendapatan digunakan untuk membayar hutang, kekurangan wang mendorong pinjaman baharu, dan komitmen yang bertambah mengecilkan lagi ruang untuk menyimpan.
Dalam keadaan ini, seseorang mungkin terus bekerja dan menerima gaji setiap bulan, tetapi masih tidak mempunyai daya tahan kewangan apabila berhadapan dengan kejutan yang tidak dijangka.
Disebabkan itu, inisiatif KWSP dalam Belanjawan 2027 perlu dihubungkan dengan realiti ini.
Pendidikan kewangan bukan sahaja tentang menggalakkan anak muda menyimpan, tetapi juga membantu mereka memahami kos pinjaman, risiko komitmen jangka panjang dan kepentingan menilai kemampuan sebelum membuat keputusan kewangan.
Persaraan Memerlukan Perancangan Lebih Awal
Jika hutang menggambarkan tekanan kewangan yang boleh berlaku ketika usia bekerja, kecukupan simpanan persaraan pula menunjukkan mengapa persediaan tidak boleh ditangguhkan terlalu lama.
Melalui Kerangka Kecukupan Pendapatan Persaraan atau Retirement Income Adequacy (RIA), KWSP memperkenalkan tiga penanda aras simpanan pada usia 60 tahun, iaitu RM390,000 bagi Simpanan Asas, RM650,000 bagi Simpanan Mencukupi dan RM1.3 juta bagi Simpanan Dipertingkatkan.
Penanda aras ini membantu masyarakat memahami bahawa kecukupan persaraan bukan sekadar tentang mempunyai baki wang dalam akaun. Persoalan yang lebih penting ialah sama ada simpanan tersebut mampu menyediakan pendapatan untuk menampung kehidupan selepas seseorang berhenti bekerja.
Bagi seseorang yang baru berusia 18 tahun, jumlah simpanan ratusan ribu ringgit mungkin kelihatan terlalu jauh. Namun, penanda aras tersebut bukan bertujuan menimbulkan kebimbangan, sebaliknya menunjukkan skala perancangan yang diperlukan untuk menghadapi tempoh persaraan yang panjang.
Masa merupakan kelebihan penting dalam simpanan jangka panjang. Caruman yang dibuat secara konsisten berpeluang berkembang melalui dividen dan kesan pengkompaunan, iaitu apabila pulangan yang diperoleh turut menyumbang kepada pertumbuhan simpanan pada masa berikutnya.
Vagaimanapun, jumlah akhir bergantung pada caruman, tempoh simpanan, prestasi pelaburan dan pengeluaran yang dibuat.
Memulakan persediaan lebih awal juga memberi seseorang lebih banyak masa untuk meningkatkan pendapatan, menyesuaikan sasaran simpanan dan membina tabiat kewangan yang sesuai dengan perubahan kehidupannya.
Sebaliknya, apabila persediaan hanya dimulakan pada usia hampir bersara, ruang untuk membina semula simpanan mungkin lebih terhad.
Namun, tidak adil untuk menganggap semua individu mampu menyimpan pada kadar yang sama. Pekerja berpendapatan rendah mungkin perlu menggunakan hampir keseluruhan pendapatan untuk memenuhi keperluan asas.
Oleh itu, usaha meningkatkan simpanan persaraan mesti bergerak seiring dengan peluang pekerjaan yang berkualiti, pendapatan yang munasabah dan kos kehidupan yang lebih terkawal.
Pendidikan kewangan penting, tetapi ia tidak boleh menggantikan pendapatan yang mencukupi. Anak muda perlu mengetahui cara menyimpan, sementara inisiatif ekonomi pula perlu menyediakan ruang sebenar untuk mereka melakukannya.
Tingkah Laku Kewangan Bermula di Rumah
Keputusan kewangan seseorang tidak terbentuk dengan sendiri. Amalan ibu bapa mengurus wang, pengalaman ketika membesar dan perbualan dalam keluarga boleh mempengaruhi bagaimana seseorang melihat simpanan, hutang serta perbelanjaan.
Anak yang biasa melihat ibu bapa merancang pembelian, membandingkan harga dan menyimpan untuk tujuan tertentu berpeluang mempelajari bahawa wang mempunyai had dan perlu diurus dengan teliti.
Mereka juga boleh memahami bahawa tidak semua kehendak perlu dipenuhi dengan segera.
Literasi kewangan tidak bergantung pada banyaknya wang yang dimiliki. Keluarga berpendapatan sederhana atau rendah juga boleh membina tabiat kewangan yang baik melalui amalan mudah.
Antaranya seperti mencatat perbelanjaan, menetapkan had belanja, membezakan keperluan daripada kehendak dan berbincang tentang matlamat simpanan.
Sebagai contoh, seorang remaja boleh diajar membahagikan wang yang diterima kepada perbelanjaan harian dan simpanan untuk tujuan tertentu.
Apabila mula bekerja, amalan tersebut boleh dikembangkan kepada bajet bulanan yang merangkumi komitmen tetap, bantuan keluarga, simpanan kecemasan dan simpanan persaraan.
Kemahiran ini semakin penting dalam persekitaran digital. Pembelian dalam talian, promosi dan kemudahan pembayaran bertangguh menjadikan perbelanjaan lebih mudah dilakukan tanpa pengguna benar-benar menilai kesannya terhadap kewangan mereka.
Kemudahan mendapatkan kredit juga boleh menimbulkan tanggapan bahawa sesuatu pembelian mampu ditanggung, sedangkan kemampuan membayar ansuran pada hari ini tidak semestinya bermaksud kemampuan menanggung keseluruhan komitmen pada masa hadapan.
Justeru, literasi kewangan perlu melangkaui pengetahuan tentang produk kewangan. Ia mesti membantu individu membina kawalan diri, menilai risiko, menangguhkan kepuasan segera dan membuat keputusan berdasarkan kemampuan sebenar.
Institusi pendidikan boleh membantu melalui latihan yang dekat dengan kehidupan sebanar. Sebagai contoh, pelajar boleh diminta merancang perbelanjaan berdasarkan gaji permulaan, kos pengangkutan, sewa, makanan, bil dan komitmen keluarga.
Latihan seperti ini membantu mereka memahami bahawa setiap keputusan mempunyai Kesan. Wang yang digunakan untuk satu tujuan tidak lagi tersedia untuk tujuan lain.
Majikan, institusi kewangan dan kerajaan juga boleh menyediakan pendidikan serta kaunseling kewangan yang praktikal. Matlamatnya bukan sekadar memastikan golongan muda mengetahui istilah kewangan, tetapi membantu mereka menerapkan pengetahuan itu dalam kehidupan sebenar.
Membantu Keluarga Tanpa Mewarisi Kitaran Hutang
Dalam masyarakat Malaysia, membantu ibu bapa dan keluarga merupakan nilai yang penting. Anak yang sudah bekerja lazimnya mahu menyumbang kepada perbelanjaan rumah, membantu adik-beradik atau menyediakan keperluan ibu bapa.
Sokongan ini boleh mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan meningkatkan kesejahteraan isi rumah.
Namun, tanggungjawab keluarga perlu diseimbangkan dengan kemampuan individu. Jika seseorang memberikan sebahagian besar pendapatannya sehingga tidak mampu memenuhi keperluan asas sendiri, membina dana kecemasan atau membuat simpanan persaraan, bantuan tersebut boleh menimbulkan masalah kewangan pada masa hadapan.
Keadaan menjadi lebih rumit apabila anak muda diminta mengambil pinjaman atas nama sendiri untuk menyelesaikan hutang ahli keluarga.
Walaupun niatnya mungkin untuk membantu, peminjam tetap perlu menanggung kewajipan pembayaran semula. Jika bayaran gagal dibuat, kedudukan kewangan dan rekod kredit peminjam boleh terjejas.
Hutang ibu bapa tidak secara automatik menjadi hutang anak hanya kerana hubungan kekeluargaan. Namun, tekanan emosi, rasa tanggungjawab dan keinginan membantu boleh mendorong anak mengambil komitmen kewangan yang di luar kemampuannya.
Oleh itu, membantu keluarga juga memerlukan batas yang sihat. Bantuan tidak semestinya bermaksud mengambil alih semua hutang atau membuat pinjaman baharu. A
nak boleh membantu keluarga menyemak perbelanjaan, mendapatkan khidmat kaunseling kewangan, berbincang dengan pemiutang tentang pilihan pembayaran atau mencari cara menambah
pendapatan.
Pada masa yang sama, ibu bapa juga perlu mempunyai perancangan kewangan untuk usia tua. Simpanan persaraan yang lebih kukuh boleh mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada anak-anak, sekali gus memberi ruang kepada generasi muda untuk membina kerjaya, menyimpan dan membesarkan keluarga sendiri.
Hubungan antara simpanan persaraan dengan kesejahteraan keluarga jelas di sini. Jika generasi terdahulu mempunyai persediaan kewangan yang lebih baik, generasi seterusnya berpeluang menggunakan pendapatan untuk meningkatkan kemahiran, memiliki kediaman dan menyediakan masa depan anak-anak mereka.
Sebaliknya, jika kekurangan simpanan berlarutan dari satu generasi kepada generasi berikutnya, tekanan kewangan boleh terus diwarisi dalam bentuk tanggungan yang semakin berat.
Kitaran ini bukan semata-mata masalah sikap individu. Ia turut berkait dengan pendapatan isi rumah, kestabilan pekerjaan, kos penjagaan kesihatan dan akses kepada perlindungan sosial. Oleh itu, penyelesaian memerlukan usaha bersama antara keluarga, institusi kewangan dan kerajaan.
Menilai Kejayaan Melalui Hasil, Bukan Akaun
Pendaftaran automatik pada usia 18 tahun merupakan peluang untuk memperkenalkan simpanan persaraan lebih awal, tetapi keberkesanannya bergantung pada pelaksanaan dan sokongan yang diberikan.
Pertama, golongan muda perlu menerima penerangan yang mudah difahami tentang tujuan pendaftaran, cara caruman dibuat dan perbezaan antara keahlian dengan baki simpanan. Mereka juga perlu mengetahui saluran rasmi untuk menyemak akaun dan mendapatkan maklumat yang tepat.
Kedua, penerangan perlu mengambil kira corak pekerjaan yang pelbagai. Pekerja formal, pekerja gig, individu bekerja sendiri dan mereka yang belum bekerja tidak mempunyai pendapatan atau kemampuan mencarum yang sama.
Maklumat tentang pilihan caruman yang bersesuaian perlu disampaikan supaya setiap kumpulan memahami bagaimana simpanan boleh dibina mengikut keadaan masing-masing.
Ketiga, inisiatif ini perlu disokong oleh peluang pekerjaan dan pendapatan yang munasabah. Seseorang yang sentiasa kekurangan wang untuk makanan, pengangkutan dan tempat tinggal akan menghadapi kesukaran menyimpan, walaupun memahami kepentingan persaraan.
Usaha memperkukuh pendapatan dan mengawal tekanan kos sara hidup perlu menjadi sebahagian daripada agenda kesejahteraan kewangan.
Keempat, keberkesanan inisiatif ini wajar dinilai melalui hasil yang lebih bermakna daripada jumlah pendaftaran.
Antara petunjuk yang boleh diberi perhatian ialah tahap kefahaman tentang persaraan, kesinambungan caruman dalam kalangan mereka yang mempunyai pendapatan, perkembangan simpanan mengikut kumpulan pendapatan dan akses kepada pendidikan kewangan.
Akhir sekali, simpanan persaraan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada sistem perlindungan sosial yang lebih luas. Dana kecemasan, perlindungan kesihatan, pengurusan hutang dan perancangan persaraan saling melengkapi dalam membina daya tahan kewangan individu dan keluarga.
Masa Depan yang Tidak Mewarisi Beban
Inisiatif pendaftaran automatik KWSP pada usia 18 tahun membawa mesej bahawa masa depan kewangan perlu dipersiapkan lebih awal.
Namun, inisiatif ini akan lebih bermakna jika ia menjadi titik permulaan kepada perubahan budaya kewangan, daripada budaya berbelanja mengikut kemampuan hari ini kepada budaya merancang untuk keperluan hari esok.
Golongan muda perlu diberi ruang untuk membuat keputusan kewangan yang baik, tetapi mereka juga memerlukan persekitaran yang menyokong keputusan tersebut.
Keluarga perlu membina komunikasi terbuka tentang wang, institusi pendidikan perlu mengajar kemahiran kewangan yang boleh diamalkan, majikan perlu menyediakan peluang pendapatan yang munasabah dan institusi kewangan perlu memastikan tanggungjawab kredit difahami oleh pengguna.
Kerajaan juga perlu memastikan usaha memperluasan akses kepada simpanan persaraan bergerak seiring dengan usaha memperkukuh pekerjaan, pendapatan dan perlindungan sosial.
Simpanan yang mencukupi tidak boleh dibina hanya melalui nasihat supaya berjimat jika pendapatan tidak memadai untuk memenuhi keperluan asas.
Ukuran kejayaan akhirnya bukan sekadar berapa ramai rakyat mempunyai akaun KWSP pada usia 18 tahun.
Ukurannya ialah sama ada mereka mampu membina simpanan secara beransur-ansur, mengelakkan hutang yang tidak terkawal, membantu keluarga mengikut kemampuan dan memasuki usia persaraan dengan lebih bersedia.
Apabila seseorang anak muda memahami nilai wang, merancang perbelanjaan dan mula menyimpan sejak awal, manfaatnya tidak terhenti pada dirinya.
Kestabilan kewangan individu boleh mengukuhkan keluarga, mengurangkan kebergantungan antara generasi dan memberi peluang kepada anak-anak pada masa hadapan untuk membina kehidupan yang lebih baik.
Akhirnya, simpanan persaraan bukan hanya tentang wang yang dikumpulkan untuk hari tua. Ia juga tentang kebebasan membuat pilihan, maruah ketika menghadapi usia lanjut dan kemampuan sebuah keluarga menjaga generasi hari ini tanpa mengorbankan kesejahteraan generasi esok.
Belanjawan 2027 telah membuka ruang untuk persediaan persaraan bermula lebih awal melalui pendaftaran automatik KWSP pada usia 18 tahun.
Langkah ini akan lebih bermakna apabila disertai pendidikan kewangan yang berterusan, peluang pendapatan yang munasabah dan inisiatif perlindungan sosial yang mampu membantu rakyat membina masa depan kewangan yang lebih kukuh.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Nuraini Abdullah
Pensyarah Kanan (Ekonomi Keluarga & Pengurusan, Keusahawanan)
Fakulti Perniagaan & Komunikasi
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
E-mel: nuraini@unimap.edu.my