Belanjawan 2027: Bersediakah Kita menjaga Malaysia yang semakin menua?

Foto janaan AI/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Melatih penjaga harus fokus kepada kompetensi praktikal, bukan sekadar bilangan yang dilatih.
  • Sokongan kepada penjaga keluarga termasuk latihan asas, panduan, nasihat profesional dan sokongan sementara penting untuk mencegah keletihan.
  • Bangunkan sistem penjagaan bersepadu yang menghubungkan rumah, komuniti dan perkhidmatan kesihatan demi kualiti hidup warga emas.

Seorang warga emas berusia 75 tahun mungkin tidak hanya hidup dengan satu penyakit. Beliau mungkin menghidap diabetes, darah tinggi dan masalah sendi, mengambil beberapa jenis ubat setiap hari, semakin sukar bergerak dan mempunyai risiko lebih tinggi untuk terjatuh. Ingatannya juga mungkin tidak lagi sebaik dahulu.

Di rumah, anak-anak cuba membantu sebaik mungkin, tetapi menjaga seorang warga emas bukan sekadar memastikan makan dan minumnya cukup. Ia memerlukan pengetahuan, kemahiran dan kesabaran untuk memahami perubahan fizikal, emosi dan kognitif yang berlaku apabila seseorang semakin berusia.

Sebab itulah salah satu pengumuman dalam Belanjawan 2027 wajar diberikan perhatian.

Kerajaan memperuntukkan lebih RM40 juta bagi melatih 8,000 tenaga kerja penjagaan warga emas. Pada masa yang sama, dua Pusat Penjagaan Warga Emas Bersepadu atau NICE akan diwujudkan di Pulau Pinang dan Sarawak.

Ia sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem penjagaan warga emas negara.

Di sebalik angka tersebut terdapat satu persoalan yang semakin penting; bersediakah kita menjaga Malaysia yang semakin menua?

Apabila Umur Panjang Membawa Cabaran Baharu

Kejayaan pembangunan dan kemajuan perubatan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia hidup lebih lama. Namun, umur yang panjang turut membawa keperluan penjagaan yang berbeza.

Apabila seseorang semakin berusia, penyakit jarang hadir secara bersendirian.

Seorang warga emas mungkin mempunyai beberapa penyakit kronik pada masa yang sama, mengambil pelbagai ubat, mengalami kelemahan otot, masalah penglihatan atau pendengaran serta memerlukan bantuan untuk melakukan aktiviti harian.

Ada yang masih mampu hidup secara berdikari, tetapi ada juga yang semakin rapuh dan memerlukan bantuan untuk berjalan, mandi, makan atau mengambil ubat.

Sebahagian mungkin mengalami demensia sehingga semakin sukar mengingati perkara yang pernah begitu biasa, termasuk orang di sekeliling mereka.

Di sinilah kita perlu memahami bahawa penjagaan warga emas bukan sekadar satu bentuk bantuan sosial. Dalam sebuah negara yang semakin menua, ia semakin menjadi satu keperluan kesihatan yang perlu dirancang secara sistematik.

Menjaga Juga Memerlukan Kemahiran

Apakah yang perlu diketahui oleh seseorang yang menjaga warga emas? Soalan ini kelihatan mudah sehingga kita berhadapan dengan situasi sebenar.

Penjaga perlu mengetahui cara membantu seorang warga emas bangun daripada katil tanpa menyebabkan kecederaan, mengenal pasti tanda awal dehidrasi atau jangkitan, mengurangkan risiko jatuh di rumah dan mengurus perubahan tingkah laku seseorang yang mengalami demensia.

Malah perkara yang kelihatan rutin seperti pemberian ubat boleh menjadi kompleks apabila seseorang mengambil beberapa jenis ubat pada waktu yang berlainan.

Sebab itu sasaran melatih 8,000 tenaga penjagaan warga emas melalui Belanjawan 2027 mempunyai potensi yang besar. Namun, kejayaannya tidak seharusnya diukur melalui jumlah individu yang selesai menjalani latihan semata-mata.

Persoalan yang lebih penting ialah apakah kompetensi yang mereka miliki selepas latihan tersebut dan sejauh mana kemahiran itu dapat diterjemahkan kepada penjagaan yang lebih selamat dan berkualiti.

Daripada Latihan Kepada Kompetensi

Latihan penjagaan warga emas perlu melangkaui kemahiran asas penjagaan harian. Penjaga perlu memahami aspek pemakanan, kebersihan, mobiliti, pencegahan jatuh, pengurusan ubat dan tanda-tanda awal perubahan kesihatan yang memerlukan perhatian profesional.

Mereka juga perlu memahami perkara yang lebih sukar dilihat, termasuk bagaimana berkomunikasi dengan seseorang yang semakin kehilangan pendengaran dan melayani warga emas yang mengalami demensia tanpa menghilangkan maruah mereka.

Penjaga juga harus tahu membezakan perubahan biasa akibat penuaan dengan keadaan yang mungkin memerlukan pemeriksaan kesihatan. Kompetensi seperti ini penting kerana penjaga sering menjadi individu yang paling banyak meluangkan masa bersama warga emas.

Mereka mungkin orang pertama yang menyedari bahawa langkah seorang ibu semakin tidak stabil, selera makan seorang ayah semakin berkurang atau ingatan seorang datuk berubah dengan ketara.

Dengan latihan yang sesuai, penjaga bukan sahaja membantu kehidupan seharian, tetapi boleh menjadi sebahagian penting daripada rantaian penjagaan dengan mengenal pasti perubahan lebih awal dan mendapatkan bantuan profesional apabila diperlukan.

Keluarga Juga Sebahagian Sistem Penjagaan

Namun, apabila kita berbicara tentang penjagaan warga emas, ada satu kelompok yang tidak boleh dilupakan, iaitu anak-anak, pasangan dan ahli keluarga. Di banyak rumah di Malaysia, merekalah penjaga sebenar.

Ada anak yang bekerja pada waktu siang sebelum pulang menjaga ibu atau ayah pada waktu malam. Ada pasangan yang sudah berusia tetapi masih menjaga suami atau isteri yang semakin uzur.

Kebanyakan mereka tidak pernah mengikuti kursus penjagaan warga emas. Mereka belajar sambil menjaga, dan dalam sesetengah keadaan tanggungjawab tersebut berlangsung selama bertahun-tahun.

Sebab itu pembangunan tenaga penjagaan profesional tidak seharusnya dilihat sebagai pengganti kepada keluarga. Sebaliknya, ia perlu menjadi sebahagian daripada ekosistem yang turut menyokong penjaga keluarga.

Latihan asas, panduan penjagaan di rumah, akses kepada nasihat profesional dan perkhidmatan sokongan sementara boleh membantu keluarga menjaga insan tersayang dengan lebih selamat.

Pada masa yang sama, kita perlu mengakui bahawa penjaga juga manusia. Keletihan fizikal dan emosi dalam kalangan penjaga adalah realiti yang tidak seharusnya dipandang ringan.

Menjaga orang yang menjaga warga emas juga merupakan sebahagian daripada penjagaan warga emas itu sendiri.

Lebih Daripada Membina Pusat Penjagaan

Penubuhan Pusat Kepakaran Penjagaan Bersepadu (NICE) memberikan satu lagi peluang penting untuk memperkukuh ekosistem tersebut. Malaysia memerlukan sistem yang mampu menghubungkan penjagaan di rumah dan komuniti dengan klinik, hospital serta perkhidmatan sosial.

Warga emas tidak sepatutnya hanya mendapat perhatian apabila mereka jatuh sakit dan tiba di hospital. Sebaliknya, penjagaan perlu membantu mereka kekal berfungsi, berdikari dan mempunyai kualiti hidup yang baik selama mungkin.

Matlamat ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak. Doktor dan jururawat mempunyai peranan mereka, begitu juga ahli fisioterapi, ahli terapi cara kerja, ahli farmasi, pakar pemakanan, pekerja sosial dan tenaga penjagaan.

Namun, di tengah-tengah semua profesion tersebut terdapat seorang manusia yang semakin berusia dan sebuah keluarga yang cuba melakukan yang terbaik untuk menjaganya.

Sistem penjagaan yang baik perlu dibina di sekeliling keperluan mereka, bukan memaksa mereka mencari jalan sendiri antara satu perkhidmatan dengan perkhidmatan yang lain.

Menjaga Generasi yang Pernah Menjaga Kita

Belanjawan sering dibicarakan melalui angka; lebih RM40 juta, 8,000 tenaga penjagaan dan dua pusat baharu. Namun, di sebalik setiap angka itu ada seorang ibu, ayah, datuk atau nenek yang suatu hari nanti mungkin memerlukan bantuan untuk melakukan perkara yang dahulunya begitu mudah.

Di sebelah mereka pula mungkin ada seorang anak yang sedang belajar bagaimana hendak menjaga sambil menguruskan pekerjaan dan keluarganya sendiri.

Belanjawan 2027 memberikan isyarat penting bahawa penjagaan warga emas semakin diberikan perhatian dalam perancangan negara.

Melatih 8,000 tenaga penjagaan merupakan satu permulaan yang bermakna, tetapi cabaran seterusnya ialah memastikan mereka bukan sekadar ramai.

Mereka perlu benar-benar kompeten, disokong oleh sistem yang baik dan mampu bekerjasama dengan keluarga serta profesional kesihatan bagi memastikan setiap warga emas mendapat penjagaan yang selamat dan bermaruah.

Dalam kita “menggapai di langit, mengakar di bumi”, kemajuan sebuah negara bukan sekadar diukur pada sejauh mana kita mampu melangkah ke hadapan, tetapi juga pada sejauh mana kita tidak meninggalkan mereka yang telah membawa kita sampai ke sini.

Mereka pernah menjaga kita. Kini tiba giliran kita menjaga mereka.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah Fisiologi dan Pendidikan Perubatan
Kulliyyah Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
E-mel: azrilshahreez@iium.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.