
SEPANG, 12 Oktober – Rakyat Malaysia dinasihatkan menangguhkan perjalanan ke kawasan berisiko di Asia Barat sekiranya tiada keperluan mendesak susulan perkembangan keselamatan di rantau itu.
- Utamakan keselamatan; tangguhkan perjalanan yang tidak penting.
- Pergi hanya jika benar-benar perlu.
- Makkah dan Madinah masih selamat menurut kenyataan.
- Sentiasa pantau perkembangan keselamatan dan patuhi nasihat Kementerian Luar; elakkan kawasan yang tidak selamat.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, nasihat perjalanan telah dikeluarkan bagi mengingatkan rakyat Malaysia supaya mengutamakan keselamatan dan mengelakkan perjalanan yang tidak perlu ke kawasan terjejas.
“Jika perlu sangat, barulah pergi. Tetapi kalau tiada keperluan, jika boleh tangguhkan dahulu.
“Di Makkah masih selamat. Kawasan-kawasan Makkah dan Madinah semuanya,” katanya ketika ditemui selepas keberangkatan pulang Raja Jordan, Raja Abdullah II, di Kompleks Bunga Raya, di sini, hari ini.
Mohamad turut mengingatkan rakyat Malaysia yang merancang perjalanan ke rantau berkenaan supaya sentiasa memantau perkembangan keselamatan semasa serta mematuhi nasihat perjalanan yang dikeluarkan Kementerian Luar.
Rakyat Malaysia juga disaran mengelakkan kawasan yang tidak selamat sehingga keadaan mengizinkan.