
KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka menerima pesawat tempur ringan FA-50M buatan Korea Aerospace Industries (KAI) mengikut jadual ditetapkan.
- Menteri akan mengumumkan tarikh ketibaan pesawat dalam masa terdekat.
- Setakat ini tiada maklumat mengenai kelewatan penghantaran pesawat berkenaan.
- Kontrak hampir RM4 bilion bagi perolehan 18 pesawat FA-50M ditandatangani Mei 2023.
- Dua pesawat dijadual tiba bulan ini, baki diterima berperingkat sehingga Mac 2028.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tarikh sebenar ketibaan pesawat berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Insya-Allah, kita akan maklumkan tarikh bila kapal terbang itu akan sampai. Jadualnya bulan ini. Kita akan maklum antara bulan ini atau bulan depan.
“Setakat ini, saya belum menerima sebarang maklumat mengenai kelewatan penghantaran pesawat berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis peluncuran Kempen Tabung Pahlawan 2026/2027 di sini, hari ini.
Turut hadir, penaung Kempen Tabung Pahlawan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain; dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris.
Pada Mei 2023, Kementerian Pertahanan dan KAI menandatangani kontrak bernilai hampir RM4 bilion bagi perolehan 18 pesawat tempur ringan FA-50 Block 20 yang dikenali sebagai FA-50M (Malaysia).
Varian itu dilengkapi keupayaan lebih canggih berbanding pesawat FA-50 yang digunakan Tentera Udara Republik Korea Selatan serta beberapa negara lain, termasuk Thailand, Filipina dan Indonesia.
Pada Jun lalu, TUDM mengesahkan dua pesawat FA-50M dijadual tiba di Malaysia bulan ini, manakala baki pesawat akan diterima secara berperingkat sehingga Mac 2028.