
KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Belanjawan 2027 dijangka merancakkan pelaburan domestik, memperluas pemilikan rumah dan mempercepat peralihan hijau negara.
- Sokongan dana GEAR-UP melalui GLIC, termasuk Dana Teroka RM1.25 bilion, bagi pembangunan infrastruktur digital dan perindustrian.
- Skim Jaminan Kredit Perumahan RM20 bilion dijangka membantu sekitar 80,000 pembeli rumah pertama, termasuk golongan bekerja sendiri.
- Elaun cukai sehingga 100% untuk projek teknologi hijau, merangsang infrastruktur mesra alam seperti stesen pengecasan EV dan bangunan cekap tenaga.
- Pengenalan semula klausa Perubahan Harga (VOP) untuk lindungi margin kontraktor dan kestabilan sektor pembinaan.
Sime Darby Property Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan, usaha kerajaan menggerakkan dana RM25 bilion menerusi Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) di bawah program GEAR-UP, termasuk Dana Teroka Ekonomi Baharu bernilai RM1.25 bilion, akan menyokong pembangunan infrastruktur digital dan perindustrian.
Menurut syarikat itu, inisiatif berkenaan turut menyokong perancangan strategiknya membangunkan pusat data bernilai tinggi dan aset logistik di Bandar Elmina.
“Dalam sektor perumahan, jaminan pembiayaan RM20 bilion menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dijangka membantu kira-kira 80,000 pembeli rumah pertama, khususnya golongan bekerja sendiri dan mereka tanpa pendapatan tetap,” menurut kenyataan itu.
Sime Darby Property turut menyambut baik pemberian elaun cukai pelaburan sehingga 100 peratus bagi projek teknologi hijau dan mampan, yang berpotensi menggalakkan pembangunan infrastruktur mesra alam termasuk stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV).
“Insentif itu juga dijangka menyokong integrasi penyelesaian cekap tenaga dalam pembangunan bandar dan komersial, selaras dengan usaha mempercepat peralihan tenaga serta pembangunan hartanah rendah karbon.
“Dalam aspek infrastruktur, syarikat itu mengalu-alukan pelaburan RM15 bilion oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memperkukuh grid elektrik negara, selain peruntukan RM100 juta untuk mitigasi banjir di Lembah Klang dan hampir RM320 juta bagi menaik taraf cerun serta sistem perparitan di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, pengenalan semula klausa Perubahan Harga (VOP) bagi menangani turun naik kos diesel dan bitumen disifatkan mampu melindungi margin kontraktor serta mengekalkan kestabilan sektor pembinaan.
Sime Darby Property menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan kerajaan dalam menyokong agenda pembangunan negara, memacu pertumbuhan mampan dan mewujudkan nilai jangka panjang kepada semua pihak berkepentingan.