
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Belanjawan 2027 terus memperkukuh sokongan terhadap usaha mengembangkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
- Inisiatif meningkatkan kemudahan pembiayaan untuk membantu PMKS menampung cabaran aliran tunai dan memastikan kelangsungan operasi.
- Pengumuman potongan cukai oleh Perdana Menteri disediakan sebagai sokongan tambahan bagi memudahkan PMKS terus berkembang.
- Kerajaan menekankan peranan PMKS sebagai tunjang ekonomi yang menyumbang peluang pekerjaan dan sumbangan besar kepada KDNK.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, inisiatif itu bagi membantu PMKS yang berdepan cabaran perniagaam. seterusnya memastikan kelangsungan operasi mereka.
Jelasnya, PMKS merupakan antara tunjang penting ekonomi negara yang merangkumi 90 peratus daripada keseluruhan syarikat di Malaysia.
“Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menjana peluang pekerjaan kepada 48 peratus rakyat Malaysia serta menyumbang kira-kira 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Oleh itu, kita perlu memastikan sektor PMKS terus berkembang dan maju. Namun, apabila berdepan tekanan ekonomi, aspek paling penting yang perlu diberi perhatian ialah aliran tunai bagi membantu mereka meneruskan operasi perniagaan.
“Sehubungan itu, pendekatan kerajaan adalah dengan meningkatkan kemudahan pembiayaan bagi membantu PMKS menangani cabaran aliran tunai. Dalam pembentangan Belanjawan 2027 hari ini, kita turut mendengar pengumuman oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengenai pemberian potongan cukai bagi membantu PMKS,” katanya kepada pemberita selepas sesi pembentangan Belanjawan 2027 di Bangunan Parlimen.