Belanjawan 2027: Sejahtera, ekonomi, digital, pendidikan, kesihatan

Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

SAUDARA PENGARANG,

RINGKASAN BERITA AI
  • Kesejahteraan rakyat diperkukuh melalui STR/SARA, penyaluran bersasar dan analitik rantaian bekalan untuk elak kejutan permintaan dan pembaziran stok.
  • Pertumbuhan ekonomi disokong langkah upah minimum progresif dan insentif PMKS, dirangka menggunakan model dinamik untuk mengurus impak makro dan inflasi.
  • Pembangunan Sovereign AI Cloud, peruntukan RnD dan bantuan AI kepada PMKS ditumpu pada ketahanan infrastruktur serta optimalisasi automasi operasi.
  • Kesihatan diperkasa dengan pengambilan doktor tetap, EMR, ambulans baharu dan model penugasan untuk memendekkan masa menunggu dan menyelamatkan nyawa.

Pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sememangnya melakarkan satu landskap baharu bagi ekonomi dan pengurusan negara.

Dengan mengangkat tema ‘MALAYSIA MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’, belanjawan ini menuntut keseimbangan strategik, mengejar kemajuan teknologi tinggi yang menjadi norma global, sambil memastikan kesejahteraan asas dan kelangsungan ekonomi rakyat di peringkat akar umbi terus terpelihara.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa Belanjawan negara bukanlah sekadar helaian lejar akaun, sebaliknya ia adalah pernyataan moral atau “Waad Nasional” sesebuah Kerajaan yang bertanggungjawab terhadap rakyatnya.

Bagi merealisasikan wawasan berskala mega ini, terutamanya yang melibatkan peruntukan kewangan berjumlah ratusan bilion ringgit, kaedah perancangan awam tradisional tidak lagi memadai. Pengurusan dasar pada hari ini menuntut intervensi berteraskan sains pemutusan.

Sebagai disiplin yang menggabungkan analisis matematik, statistik, teori kebarangkalian, dan pemodelan saintifik, sains pemutusan membolehkan pembuat dasar membina “Kembar Digital” (Digital Twin) kepada sistem dunia sebenar.

Ini membolehkan kerajaan menguji dasar, meramal impak sosioekonomi, dan melihat kelancaran pelaksanaan peruntukan belanjawan di dalam persekitaran makmal analitik sebelum ia dilaksanakan secara fizikal di lapangan.

Artikel ini akan mencerakinkan lima teras kritikal Belanjawan 2027, kesejahteraan rakyat, ekonomi dan pekerjaan, kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan, pendidikan, serta kesihatan melalui lensa analitik data dan model sains pemutusan demi memaksimumkan pulangan pelaburan sosial negara.

Kesejahteraan Rakyat : Pengoptimuman Analitik dalam Jaringan Keselamatan Sosial

Teras “Mengakar di Bumi” dizahirkan secara jelas melalui komitmen besar Kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat. Pada tahun hadapan, jumlah keseluruhan untuk subsidi, bantuan, dan insentif dianggarkan melebihi RM80 bilion.

Sebahagian besar daripada dana ini disalurkan melalui peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang ditingkatkan kepada RM15 bilion.

Semua penerima STR akan menerima SARA sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun, yang akan memanfaatkan sehingga sembilan juta rakyat.

Tambahan pula, penggunaan SARA kini diperluas kepada barangan basah dan segar di 216 pasar tani dan tamu bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), dan akan menembusi 10,000 kedai runcit kecil. Jualan Rahmah dan Jualan Agro MADANI turut ditingkatkan peruntukannya kepada RM750 juta.

Dari sudut sains pemutusan, pengagihan dana gergasi ini merupakan masalah pengoptimuman rantaian bekalan (supply chain optimization) berskala nasional.

Apabila sembilan juta pengguna disuntik dengan kuasa beli tambahan secara serentak setiap bulan, ia berpotensi mencetuskan kejutan permintaan (demand shock) terhadap rantaian logistik barangan asas.

Kerajaan tidak boleh sekadar menyalurkan wang tanpa memastikan kestabilan stok di 10,000 kedai runcit dan 216 pasar tani tersebut.

Melalui analitik perangkaan dan pemodelan operasi, agensi seperti FAMA dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) boleh membangunkan algoritma ramalan permintaan berasaskan lokasi (location-based demand forecasting).

Algoritma ini menganalisis corak perbelanjaan SARA masa lalu untuk meramal jenis barangan basah dan kuantiti yang akan dibeli di sesuatu daerah pada minggu pertama setiap bulan.

Penyaluran Jualan Rahmah bersasar juga boleh dipetakan menggunakan model analitik ruangan (spatial analytics) ke kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) dan luar bandar yang dikenal pasti menerusi sistem Pangkalan Data Utama (PADU) sebagai “kawasan merah” kos sara hidup.

Ini memastikan peruntukan RM750 juta tersebut dibelanjakan di koordinat yang memberikan impak pelepasan beban sara hidup paling tinggi, sekaligus mengelakkan lambakan stok atau pembaziran logistik.

Selain itu, kesejahteraan rakyat juga meliputi perlindungan daripada bencana. Kerajaan terus mempergiat Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara, termasuk di Lembah Klang dan Kelantan.

Dalam sains pemutusan, model penilaian risiko kebarangkalian (probabilistic risk assessment) digunakan secara meluas.

Data taburan hujan dan corak iklim berpuluh tahun dimasukkan ke dalam model saintifik untuk menguji pelbagai senario “Bagaimana-Jika” (What-If analysis) ke atas kapasiti empangan dan kolam takungan air.

Hasil maklumat dari pemodelan ini membantu jurutera menentukan keutamaan penyelenggaraan yang paling kritikal untuk mengelakkan tragedi yang meragut nyawa dan memusnahkan harta benda.

Ekonomi dan Pekerjaan: Mengurus Dinamik Sistem Pasaran Buruh

Bagi tahun 2027, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara diunjur terus berkembang kukuh antara 4.2 hingga 5.2 peratus. Pertumbuhan ekonomi tidak bermakna tanpa mengangkat darjat golongan pekerja.

Oleh itu, langkah berani kerajaan meningkatkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 berkuat kuasa Jun 2027 adalah penanda aras baharu.

Malah, pembaharuan struktur dibuat dengan menetapkan gaji minimum bagi pekerjaan separa mahir dan graduan pada RM2,500 sebulan, sementara Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dipuji kerana menetapkan penanda aras gaji sara hidup setinggi RM3,400.

Golongan pekerja gig yang menabur bakti dalam sektor e-hailing dan p-hailing turut dibela menerusi inisiatif pembiayaan bersama pihak Grab bernilai RM160 juta, berserta insentif caruman padanan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Namun, setiap dasar campur tangan upah yang progresif ini membawa riak kesan (ripple effect) yang kompleks kepada lanskap makroekonomi, khususnya buat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Kerajaan cukup cakna akan hal ini apabila menurunkan kadar cukai pendapatan PMKS sebanyak satu mata peratusan. Di sinilah kaedah sistem dinamik (system dynamics) dalam sains pemutusan amat diperlukan oleh Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan.

Model sistem dinamik membolehkan pakar ekonomi menjejaki gelung maklum balas (feedback loops) antara kenaikan kos operasi syarikat akibat kenaikan gaji minimum dan potensi peningkatan kuasa beli rakyat yang merancakkan pusingan tunai di pasaran tempatan.

Melalui kaedah penganalisisan data ini, kita boleh menjangkakan berapa lamakah sela masa antara kenaikan kos pekerja dan pemindahan kos tersebut kepada harga barang pengguna (inflasi).

Apabila kerajaan menggunakan model matematik untuk mensimulasikan polisi ekonomi, ia dapat merumus pelbagai langkah kusyen seperti pemotongan cukai yang disasarkan, pada titik masa yang tepat sebelum tekanan inflasi memberi kesan langsung kepada PMKS, memastikan daya tahan syarikat bersaiz kecil kekal utuh sambil kualiti hidup pekerja bertambah baik.

Kecerdasan Buatan (AI) dan Digital: Menguji Ketahanan Infrastruktur Masa Hadapan

Demi mengelakkan kebergantungan luar dan melindungi kerahsiaan, pembangunan Sovereign AI Cloud dirangka untuk memastikan data rakyat dan maklumat strategik kekal bawah kawalan penuh Malaysia.

Komitmen RM6 bilion diperuntukkan bagi memperhebat aktiviti R&D dan pengkomersialan ciptaan rentas kementerian.

Pada peringkat komuniti, 100,000 lagi langganan AI percuma akan disediakan meliputi aplikasi seperti ChatGPT, manakala dana MDEC sebanyak RM30 juta disalurkan untuk membantu 4,000 PMKS menerapkan AI dan mengautomasi operasi.

Kejayaan inisiatif berteknologi tinggi sebegini bergantung kepada kekuatan seni bina rangkaian dan keupayaan pengurusan kapasiti.

Apabila Sovereign AI Cloud dilancarkan, ia akan menerima jutaan “permintaan” log masuk serentak dari seluruh kementerian dan awam.

Jurutera sistem perlu memodelkan beban kerja pelayan awan untuk meramalkan titik kegagalan (failure points) dan menentukur algoritma pengimbangan beban.

Model pemprosesan kebarangkalian akan menjawab persoalan teknikal yang rumit: Berapakah unit pemprosesan (GPU/CPU) yang mesti sentiasa aktif pada waktu puncak? Bagaimanakah cara pengkalan data harus diagihkan supaya sistem tidak lumpuh apabila berlaku serangan siber rawak?

Bagi 4,000 PMKS yang akan menerapkan elemen automasi, sains pemutusan membolehkan mereka mencipta model maya kilang atau kedai mereka.

Dengan menganalisis logik aliran kerja harian (workflow logic), usahawan PMKS ini tidak perlu bertindak meneka sembarangan di mana teknologi AI harus dipasang.

Algoritma akan menunjukkan dengan tepat bahawa, sebagai contoh, meletakkan sistem kamera AI di unit pemeriksaan kualiti akan meningkatkan kecekapan pengeluaran sehingga 40 peratus, manakala meletakkannya di sistem pembungkusan mungkin hanya memberi pulangan pelaburan (ROI) peratusan yang kecil. Analisis berpandukan data ini menjamin dana RM30 juta dioptimumkan sepenuhnya.

Pendidikan: Merungkai Kompleksiti Ekosistem Pembelajaran Secara Saintifik

Pendidikan kekal di mercu keutamaan dengan peruntukan tertinggi dalam belanjawan iaitu hampir RM69 bilion. Seperti yang diungkapkan oleh pujangga Thiruvalluvar, kemajuan negara ditunjangi kebijaksanaan, keilmuan dan budi bangsanya.

Kerajaan menyediakan RM2 bilion bagi membaik pulih dan menyelenggara semua jenis sekolah, serta tambahan RM1.3 bilion untuk menaik taraf 682 sekolah daif, terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Peningkatan murid darjah 1 diunjur mencecah 500,000 orang, menuntut penyediaan 3,500 bilik darjah tambahan IBS menjelang hujung tahun ini. Bagi membantu meringankan beban keluarga, Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan kepada RM200 bagi setiap murid, manakala RM870 juta disediakan bagi kelangsungan Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Bagaimana sains pemutusan membantu merombak ekosistem ini? Masalah penyelenggaraan ribuan sekolah di seluruh negara ialah isu klasik peruntukan sumber terhad (resource allocation problem).

KPM tidak sewajarnya menggunakan konsep “siapa cepat dia dapat” dalam meluluskan tender baik pulih sekolah. Melalui analitik keputusan pelbagai kriteria (multi-criteria decision analysis), pakar boleh membina “Indeks Risiko Prasarana Pendidikan”.

Pemboleh ubah seperti tahap kerapuhan struktur bangunan, kepadatan murid, kekerapan amaran banjir, dan rekod aduan PIBG disatukan ke dalam satu model perkomputeran.

Algoritma kemudiannya akan mencadangkan senarai susunan keutamaan saintifik (scientific prioritization list) untuk sekolah mana yang paling mendesak di dalam senarai 682 sekolah daif tersebut.

Keputusan berlandaskan model matematik ini menafikan campur tangan sentimen dan memastikan setiap ringgit dibelanja atas asas keperluan sebenar.

Dalam konteks Rancangan Makanan Tambahan (RMT), kerangka logistik operasi sekolah juga wajar dipacu oleh data.

Rantaian bekalan makanan dari pembekal hinggalah ke kantin sekolah harus selari dan dipantau menerusi pemodelan operasi supaya kualiti hidangan kekal terjamin dan tiada pelajar yang terlepas manfaat pemakanan akibat lompong birokrasi.

Kesihatan: Kapasiti Berpacu Data dan Kelangsungan Nyawa

Peningkatan belanjawan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada RM47.7 bilion amat dialu-alukan. Pencapaian terbesar kerajaan adalah menoktahkan isu doktor kontrak; lebih 9,000 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap pada tahun 2027.

Kerajaan turut memperuntukkan RM200 juta untuk menyumber luar pesakit ke hospital swasta bagi memendekkan tempoh menunggu, membiayai projek Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) berjumlah RM1 bilion dbawah kelolaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), serta Pelan MediAsas yang menawarkan pengkelasan bil hospital yang lebih seragam.

Di samping itu, perolehan 400 ambulans baharu dan RM770 juta untuk kelengkapan canggih (seperti pembedahan robotik) diluluskan.

Kesihatan adalah lapangan yang amat sensitif terhadap ralat operasi; kelewatan seminit boleh membawa maut.

Penyerapan 9,000 doktor berstatus tetap adalah rahmat besar, tetapi pengagihan penempatan mereka ke seluruh negara tidak boleh diurus secara melulu.

Dengan membangunkan model rantaian staf perubatan (workforce modelling), perancang kesihatan boleh menganalisis corak masa perundingan pesakit mengikut nisbah kesesakan Jabatan Kecemasan dan Trauma (ED) di fasiliti seluruh Semenanjung, Sabah, dan Sarawak.

Analitik proses akan menentukan taburan pengagihan optimum bagi doktor-doktor ini, berapa peratus harus dihantar ke klinik daerah, dan berapa peratus perlu kekal di hospital pakar negeri bagi meminimumkan purata masa menunggu secara holistik.

Untuk inisiatif penyumberan luar pesakit dengan dana RM200 juta, kaedah pengoptimuman penugasan (assignment optimization) amat sesuai diguna pakai.

Sistem pangkalan data dapat dibangunkan untuk menilai kapasiti jadual doktor pakar hospital kerajaan secara automatik berbanding caj kapasiti yang ditawarkan hospital swasta terdekat.

Jika model saintifik mendapati bahawa merujuk kes ketumbuhan spesifik ke swasta adalah lebih efektif dari segi kos dan menjimatkan hari menunggu kritikal pesakit, maka kelulusan dapat dibuat segera tanpa birokrasi kertas.

Sementara itu, perolehan 400 unit ambulans baharu memerlukan kajian geolokasi menggunakan analisis kluster (cluster analysis) serta pemodelan laluan rangkaian lalu lintas.

Pihak kementerian boleh memasukkan data masa respons kecemasan, kadar taburan kemalangan jalan raya, dan kepadatan penduduk kawasan bandar dan pedalaman ke dalam model algoritma bagi menentukan zon radius hospital yang manakah harus diutamakan bagi menerima armada ambulans baharu ini, agar waktu prarawatan hospital dipercepatkan maksimum.

Kesimpulan: Menjayakan Waad Nasional Berteraskan Bukti

Dalam penutup pembentangan Belanjawan, Perdana Menteri membawa ahli Dewan menghayati keindahan sastera Yunani purba, memetik epik The Odyssey karya Homer, mengenai perjalanan wira Odysseus yang penuh gejolak namun tidak pernah melepaskan cita-citanya terhadap Ithaca.

Beliau menjelaskan bahawa bagi sesebuah negara, sehebat manapun kita membina gedung peradaban, kita tidak boleh kehilangan arah tujuan asal dan nilai warisan.

Semangat antara generasi (intergenerational responsibility) inilah yang melandasi Waad Nasional—ikatan tanggungjawab yang wajib disempurnakan antara sebuah pemerintah dan rakyatnya demi masa hadapan.

Kini, selepas keseluruhan kerangka peruntukan negara diumumkan, fasa paling kritikal dan getir bermula, iaitu fasa pelaksanaan dasar (policy execution). Kerajaan tidak lagi boleh sekadar meraba-raba di dalam kegelapan menggunakan kaedah andaian dan percubaan.

Dengan kekangan kedudukan kewangan awam yang sentiasa dituntut supaya diurus dengan hemat, kita mesti memperhebat keupayaan perkhidmatan awam melalui integrasi instrumen perancangan moden.

Pengaplikasian pendekatan analitikal seperti perkomputeran pemodelan saintifik bukanlah suatu kemewahan teknikal semata-mata; ia merupakan prasyarat untuk tadbir urus yang cekap (good governance).

Melalui kepersisan operasi berpacu data dalam sistem Kesejahteraan Rakyat, Ekonomi, Infrastruktur AI, Pendidikan, dan Kesihatan, Malaysia berupaya melepasi sebarang badai geopolitik.

Pendekatan ini menterjemah secara harfiah janji Belanjawan MADANI 2027: Menggapai di Langit dengan kecanggihan inovasi, sambil teguh Mengakar di Bumi dengan jaminan pengurusan amanah rakyat dan nilai integriti tanpa kompromi.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Prof. Madya Dr. Mohd Kamal Mohd Nawawi
Pensyarah
Pusat Pengajian Sains Kuantitatif
Universiti Utara Malaysia (UUM)
e-mel: mdkamal@gw.uum.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.