
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Kerajaan bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi 2027 kepada peminjam berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan.
- Peminjam berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 dikenakan bayaran balik minimum RM50.
- Peminjam tanpa tunggakan yang membuat bayaran balik teratur diberikan diskaun 10 peratus.
- Semua prosiding tatatertib di universiti awam berkaitan kebebasan bersuara dan perhimpunan aman dihentikan serta-merta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peminjam berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan pula hanya dikenakan bayaran balik minimum RM50.
“Langkah ini dijangka memanfaatkan lebih 400,000 peminjam PTPTN,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Selain itu, peminjam yang tidak mempunyai tunggakan dan membuat bayaran balik secara teratur akan diberikan diskaun sebanyak 10 peratus.
Kerajaan turut bersetuju memberikan potongan cukai kepada majikan yang membayar balik pinjaman PTPTN bagi pihak pekerja, melibatkan bayaran yang dibuat dari 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2028.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan menyediakan kerangka perundangan pendidikan tinggi yang menyeluruh bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), meliputi aspek autonomi universiti, kebebasan akademik serta hak mahasiswa.
“Berkuat kuasa serta-merta, semua prosiding tatatertib di universiti awam berkaitan kebebasan bersuara, penyataan pandangan, kritikan awam dan perhimpunan aman dihentikan,” katanya.
Kementerian Pendidikan Tinggi menerima peruntukan sebanyak RM19.1 bilion, termasuk RM800 juta bagi menambah baik prasarana universiti seperti bilik kuliah dan kediaman mahasiswa serta menggantikan peralatan usang.
Kerajaan turut mengalu-alukan sumbangan orang ramai, termasuk alumni dan sektor korporat, kepada universiti awam.
Sumbangan berkenaan layak mendapat potongan cukai pendapatan sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat.